Perbahasan RUU Kawalan Produk Merokok GEG di Parlimen pada 10 Oktober ditangguhkan | DagangNews Skip to main content

Perbahasan RUU Kawalan Produk Merokok GEG di Parlimen pada 10 Oktober ditangguhkan

KUALA LUMPUR 9 Okt - Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dijadual dibentang semula ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan esok, ditangguhkan.

 

Bagaimanapun, RUU yang berada di peringkat bacaan kedua itu masih terkandung dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang bersidang bermula hari ini hingga 30 November depan.

 

"KKM ingin memaklumkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bernombor D.R. 25/2023 yang dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan kali kedua pada 10 Oktober 2023 (esok) ditangguhkan.

 

"(Penangguhan) bagi memberi laluan kepada aturan urusan kerajaan lain sebagaimana disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan pembentangan RUU ini akan dibuat oleh kerajaan dalam masa terdekat," katanya.

 

KKM berkata, pihaknya kekal komited untuk terus membentangkan RUU ini bagi memastikan isu kelompangan undang-undang dalam kawalan produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape dapat diatasi.

 

Sementara itu, jurucakap Parlimen ketika dihubungi mengesahkan pembentangan RUU itu masih berada dalam aturan urusan mesyuarat esok, Berita Harian melaporkan.

 

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa minggu lalu memaklumkan, KKM menerima baik semua syor dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen berkenaan RUU berkenaan dan ia akan dibentang semula ke Dewan Rakyat esok untuk dibahas dan diputuskan oleh Ahli-ahli Parlimen.

 

Katanya, keputusan pembentangan sekali lagi itu dibuat hasil keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu.

 

Jun lalu, Zaliha memaklumkan antara sebab RUU itu dirujuk semula ke JKPK Kesihatan berikutan gesaan badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan supaya beberapa perkara di bawah RUU itu diteliti semula.

 

RUU itu kali kedua dirujuk kepada JKPK Kesihatan selepas kali pertama dibentangkan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini, Khairy Jamaluddin pada Ogos tahun lalu, namun Dewan Rakyat membuat keputusan sama meminta supaya ia dirujuk kepada JKPK.

 

Di bawah RUU dibentang pada Jun lalu itu, kuasa penguatkuasaan luas seperti diperuntukkan dalam draf RUU terdahulu, dihadkan kepada bagi tujuan pengilangan, pembungkusan, penyimpanan, penyerahan, pengedaran atau penjualan produk, yang secara langsung mencetus kebimbangan kepada pemain industri rokok elektronik kemungkinan ia akan menyekat perniagaan mereka. - DagangNews.com