Perbankan digital Maybank kekal sebagai sebahagian perniagaan teras, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Perbankan digital Maybank kekal sebagai sebahagian perniagaan teras, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - Operasi perbankan digital Malayan Banking Berhad (Maybank) tidak akan dijalankan secara berasingan sebaliknya kekal menjadi sebahagian daripada perniagaan terasnya.

 

AmInvestment Bank Research berkata, dengan meningkatkan produktiviti, peralihan ke arah pendigitalan merentas produk dan perkhidmatan tersedia bagi meningkatkan jualan dan hasilnya secara beransur-ansur.

 

Katanya, kumpulan itu akan memanfaatkan ekosistem semasa bagi meningkatkan penembusan rumusan serta perkhidmatan perbankan digital bagi mengembangkan bahagian pasarannya dalam pasaran ASEAN.

 

"Melalui usaha pendigitalan, Maybank telah meningkatkan bilangan pelanggan digital yang aktif. 

 

"Ia kini mempunyai lebih daripada 8.7 juta pengguna aktif. Selain itu, kumpulan itu telah meningkatkan pembukaan akaun semasa dan simpanan (CASA) secara digital lebih daripada 69 kali ganda (dari 2018 hingga September 2023)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada masa ini, kumpulan itu menguasai bahagian pasaran utama dalam perbankan digital di Malaysia. 

 

Katanya, jumlah transaksi perbankan digital, kumpulan itu mempunyai bahagian pasaran sebanyak 50.9%/56.1% setakat September 2023. 

 

Sementara itu, katanya, bagi Duitnow QR Pay, bahagian pasaran kumpulan itu berada pada 54% setakat April 2023.

 

Sehingga akhir Sept 2023, kumpulan itu telah mencapai kadar penembusan pelanggan digital sebanyak 74.1% berbanding 73.6% pada 2022.

 

"Dari segi jualan digital, kadar penembusan keseluruhan telah meningkat kepada 77.7% pada September 2023 berbanding 67.2% pada 2022. 

 

"Kumpulan itu berharap dapat meningkatkannya kepada 85% menjelang 2025. Purata jumlah hasil pengguna digital adalah lebih tinggi daripada pengguna bukan digital," katanya.

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk menyokong perjalanan pelanggan runcit termasuk menyokong pelanggan bagi keperluan bukan perbankan seperti perjalanan, makanan & minuman (F&B), keperluan hiburan individu serta perisian perakaunan, sumber manusia dan perkhidmatan gaji untuk perniagaan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM9.50 sesaham. - DagangNews.com