KUALA LUMPUR 30 April - Perbelanjaan isi rumah sukar untuk kembali pulih tahun ini dan seterusnya memandangkan perintah sekatan pergerakan (PKP) masih dilaksanakan bagi mengekang peningkatan wabak COVID-19.
Fitch Solutions Group pada Januari lalu mengunjurkan perbelanjaan isi rumah akan berkembang 11% tahun ke tahun.
Tetapi, unitnya, Fitch Solutions Country Risk and Industry Research (Fitch Solutions) menyemak semula unjuran itu kepada hanya 3% bagi tahun ini dan seterusnya.
"Secara keseluruhan, jumlah perbelanjaan isi rumah tahun ini dijangka mencecah AS$222 bilion, lebih rendah berbanding AS$225.3 bilion yang dianggarkan ketika sebelum COVID-19 pada 2019," katanya.
Bagaimanapun, agensi itu menjangkakan perbelanjaan isi rumah sebenar akan mula menunjukkan pemulihan tahun ini dengan diunjur berkembang 3% tahun ke tahun.
"Kami menyedari kesan ekonomi akibat pandemik ini mewujudkan asas yang rendah untuk berkembang," tambahnya.
Jelasnya lagi, sektor peruncitan juga dilihat terus bergelut dan mencatat penurunan dengan penguatkuasaan PKP secara berterusan bagi mengawal wabak itu.
Keadaan ini, katanya, semakin diburukkan dengan sekatan rentas daerah dan negeri antara Lembah Klang (yang berpusat di Kuala Lumpur dan juga bandar-bandar dalam Selangor) yang menyumbang kira-kira 60% kepada jualan runcit di negara ini, akan melambatkan lagi pemulihan.
"Tetapi, sebaliknya, sekatan ini telah mempercepatkan perkembangan sektor e-dagang di negara ini.
"Indeks jualan runcit secara dalam talian yang mencerminkan aktiviti e-dagang merekodkan pertumbuhan 23.1% tahun ke tahun," katanya.
Fitch Solutions pada Februari lalu telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 4.9% daripada 10% berikutan pelaksanaan PKP 2.0.
Ia mendapati kadar pengangguran terus meningkat tetapi akan mula mereka pada separuh kedua tahun ini meskipun kerajaan menyediakan pelbagai pakej ekonomi bagi menampan kesan PKP ke atas ekonomi.
Agensi ini menjangkakan 4.2% kadar pengangguran pada 2020 dan 4.5% bagi tahun ini.
Tahun lalu, kerajaan mengumumkan 5 pakej rangsangan ekonomi, berjumlah RM72 bilion dan tambahan RM7 bilion dalam Belanjawan 2021 bagi memerangi wabak COVID-19.
Bagi tahun ini pula, kerajaan melaksanakan 2 pakej rangsangan berjumlah RM35 bilion.
Sementara itu, di peringkat global, Fitch Solution berpendapat, pemulihan bagi perbelanjaan pengguna bergantung kepada sejauh mana sesebuah negara mampu menvaksinkan sebahagian besar penduduknya di samping jumlah jangkitan dan kadar kematian yang rendah.
"Pada masa sama, beserta dengan sekatan pergerakan yang dilonggarkan akan meningkatkan keyakinan pengguna dan merangsang jualan runcit," tambahnya.
Bagi Malaysia, agensi itu mendapati, program imunisasi kebangsaan berjalan dengan perlahan berbanding negara lain di rantau ini.
Ini kerana katanya, walaupun Kementerian Kesihatan telah membangunkan pelan vaksinasi ini, yang mana antara 60 hingga 70% populasi di negara ini akan menerima vaksin, tetapi setakat ini, ia bergerak dengan perlahan.
"Setakat 25 April 2021, Malaysia hanya mampu menyuntik 4 dos vaksin bagi setiap 100 penduduk, dan ia sebenarnya lebih perlahan berbanding China mahupun Indonesia yang mana masing-masing mampu menyuntik 15.9 dan 6.8 dos bagi setiap 100 penduduk," jelas agensi itu. - DagangNews.com