Perbelanjaan operasi tinggi punca untung bersih RHB Bank pada 2QFY24 susut 10.7% kepada RM722.3 juta | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan operasi tinggi punca untung bersih RHB Bank pada 2QFY24 susut 10.7% kepada RM722.3 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Untung bersih RHB Bank Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) menyusut 10.7% kepada RM722.3 juta berbanding RM808.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan perbelanjaan operasi yang tinggi.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku itu bagaimanapun meningkat 9.2% kepada RM4.2 bilion berbanding RM4.05 bilion pada 2QFY23.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24), untung bersihnya susut 7.5% kepada RM1.45 bilion berbanding RM1.57 bilion setahun lalu.

 

"Penurunan itu disebabkan elaun yang lebih tinggi untuk kerugian kredit, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi dan bahagian kerugian yang lebih tinggi dalam syarikat bersekutu, sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi dan pendapatan pendanaan bersih serta perbelanjaan cukai yang lebih rendah.

 

"Hasil meningkat 10.7% kepada RM8.82 bilion dalam tempoh dikaji daripada RM7.97 bilion setahun lalu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 4% kepada RM2.8 bilion, didorong pendapatan pendanaan yang lebih tinggi daripada pertumbuhan 6.4% bagi pinjaman kasar dan pembiayaan.

 

Margin faedah bersih (NIM) meningkat sebanyak 6 mata asas suku ke suku kepada 1.89%.

 

Pendapatan bukan berasaskan dana meningkat 28.5% kepada RM1.4 bilion, disebabkan pendapatan yuran yang lebih tinggi, keuntungan bersih bagi tukaran mata wang asing dan derivatif, pendapatan dagangan dan pelaburan bersih, dan keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan RHB Securities Vietnam (RHBSVN).

 

Perbelanjaan mengurus berjumlah RM1.9 bilion, disebabkan oleh kos kakitangan, pertubuhan dan pemasaran.

 

"Sementara itu, pinjaman terjejas kasar (GIL) berjumlah RM4 bilion, dengan nisbah GIL 1.76%, meningkat daripada 1.74% (RM3.9 bilion) pada Disember 2023. 

 

"Nisbah perlindungan kerugian pinjaman bagi kumpulan itu, termasuk rizab kawal selia, bertambah baik kepada 106.8% dan 70.4% tanpa rizab kawal selia," katanya.

 

Deposit pelanggan berjumlah RM240.3 bilion, dengan komposisi akaun simpanan akaun semasa (CASA) sebanyak 28.1%, dan nisbah perlindungan kecairan (LCR) kekal kukuh pada 139.6%.

 

Jumlah aset bagi kumpulan itu meningkat 1% tahun setakat ini kepada RM331.9 bilion.

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad berkata, bank itu telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan ia memiliki kecekapan teknikal yang diperlukan, serta kekuatan kepimpinan bagi mengharungi cabaran serta memacu pertumbuhan yang mampan.

 

"Baru-baru ini pihaknya melantik pemimpin strategik utama, termasuk pelantikan ketua pegawai kewangan kumpulan, ketua juruaudit dalaman kumpulan serta ketua pegawai eksekutif RHB Investment Bank.

 

"Kami juga mewujudkan dua peranan baharu - ketua pegawai kewangan wilayah dan ketua strategi modal, serta ketua kewangan mampan. 

 

"Kami mencapai kemajuan ketara dalam mengembangkan perkhidmatan kewangan mampan, setelah mencapai lebih RM31 bilion daripada sasaran RM50 bilion digariskan dalam strategi & pelan hala tuju kemampanan lima tahun," katanya. - DagangNews.com