Perdagangan Malaysia merosot 14.4% kepada RM216.4 bilion pada Julai 2023 – DOSM | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Malaysia merosot 14.4% kepada RM216.4 bilion pada Julai 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Perdagangan Malaysia merosot 14.4% kepada RM216.4 bilion pada Julai 2023 berbanding tahun lalu berikutan ekonomi global yang semakin mencabar, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Seiring dengan itu, dengan eksport mencatatkan penurunan 13.1% kepada RM116.8 bilion, manakala import berkurang 15.9% kepada RM99.7 bilion.

 

Bagaimanapun, imbangan dagangan kekal dengan lebihan berjumlah RM17.1 bilion pada Julai 2023.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata eksport menyusut berikutan penurunan dalam kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

 

“Eksport domestik bernilai RM89.1 bilion, menyumbang 76.3% kepada jumlah eksport, menurun 13% pada Julai 2023,” katanya. Eksport semula berjumlah RM27.6 bilion, menyusut 13.5%, berbanding Julai 2022. Import turun 15.9 % daripada RM118.5 bilion kepada RM99.7 bilion.

 

Sementara itu, lebihan dagangan Malaysia pada Julai 2023 meningkat 7.9% atau RM1.3 bilion berbanding tahun sebelumnya kepada RM17.1 bilion. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-39 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

 

 

dosm

 

 

Perbandingan bulanan menunjukkan eksport turun 5.8 %, manakala import meningkat 1.3 % berbanding Jun 2023.

 

Meninjau dari sudut kumpulan barangan, 144 daripada 258 kumpulan eksport menunjukkan penurunan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, terutamanya keluaran petroleum bertapis. Bagi import, 143 daripada 258 kumpulan merekodkan pertumbuhan negatif.

 

Mohd Uzir berkata, eksport yang lebih rendah disumbangkan terutamanya oleh pengurangan ketara ke Singapura (RM4.4 bilion), diikuti Jepun (-RM2.1 bilion), Thailand (-RM1.1 bilion), Emiriah Arab Bersatu (-RM1.1 bilion), Filipina (-RM927.8 juta), Indonesia (-RM923.8 juta), Bangladesh (-RM888.9 juta) dan India (-RM859.8 juta).

 

Sementara itu, penurunan import terutamanya disumbangkan dari China (-RM4.4 bilion), diikuti Taiwan (-RM3.8 bilion), Indonesia (-RM2.4 bilion), Amerika Syarikat (-RM1.8 bilion), Jepun (-RM1.5 bilion), Australia (-RM1.1 bilion), India (-RM1.1 bilion) dan Singapura (-RM1 bilion).

 

“Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2023, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan penurunan. Jumlah dagangan menurun 6.1%, berikutan penyusutan eksport (5.9%) serta import (6.5%).

 

“Pada masa yang sama, lebihan dagangan merosot 2.5% berbanding tempoh yang sama pada 2022,” tambahnya.  - DagangNews.com