Perdagangan rokok haram Ogos melonjak 64.5% | DagangNews Skip to main content

Perdagangan rokok haram Ogos melonjak 64.5%

Rokok tidak sah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Kajian rokok tidak sah atau Illicit Cigarettes Study (ICS) yang dikomisenkan oleh Konfederasi Pengeluar-Pengeluar Tembakau Malaysia memaklumkan bahawa perdagangan rokok tidak sah mencapai tahap tertinggi sebanyak 64.5% pada bulan Ogos lalu.

Lebih membimbangkan apabila penggunaan rokok berkenaan di Wilayah Persekutuan dan Selangor meningkat secara mendadak sebanyak 66.5% dan 65.7% berbanding 61% dan 60% pada Julai.

Pengarah Urusan Japan Tobacco International Berhad (JTI Malaysia), Cormac O’ Rourke berkata, peningkatan penggunaan rokok tidak sah menunjukkan bahawa perlunya langkah-langkah yang disasarkan untuk mengekang penyeludupan dan pembelian barangan itu di saat ekonomi Malaysia sedang meleset akibat COVID-19.

“Terdapat pihak yang ingin menuntut peningkatan cukai ke atas produk tembakau sewaktu pembentangan Bajet 2021, tapi kita mesti bersungguh-sungguh menyarankan kerajaan supaya tidak mengenakan sebarang kenaikan cukai ke atas produk tembakau kerana ia akan hanya memburukkan keadaan dan menyusahkan golongan peruncit sah yang memang sudah
menanggung beban berat.

“Sebarang peningkatan cukai pada tahun ini akan meluaskan lagi jurang harga di antara perdagangan sah dan tidak sah dan ia akan merencat industri sah serta perniagaan kecil dan sederhana (PKS)," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Gejala perdagangan rokok tidak sah di Malaysia secara umumnya menunjukkan percambahan yang semakin parah akibat kawalan pergerakan COVID-19 yang dijalankan sejak  suku pertama 2020.

 

Cormac O’ Rourke
Cormac O’ Rourke

 

Peningkatan itu juga terus meminggirkan syarikat tembakau sah dan golongan peruncit di Malaysia. 

Tambah O’ Rourke, industri rokok sah secara langsung dan tidak langsung menyumbang sebanyak 500,000 pekerjaan di dalam negara.

Justeru itu, sebarang kenaikan cukai adalah tidak berasas pada ketika negara berada dalam persekitaran pulangan rendah yang berterusan. 

Tegasnya, industri tembakau sah memerlukan tindakan tegas daripada kerajaan dalam menanggani masalah perdagangan haram dengan  memperkasa Pasukan Petugas Pelbagai Agensi atau Multi-Agency Task Force (MATF) untuk memeriksa percambahan produk tembakau tidak sah di dalam negara. 

Menurutnya, MATF boleh menjadi jentera berkesan untuk membantu Malaysia mendapat kembali cukai yang hilang daripada ekonomi gelap. 

"Dianggarkan sebanyak 12 bilion rokok yang lari cukai dijual di Malaysia setiap tahun. Sebahagian besarnya dibawa masuk ke dalam negara melalui penyalahgunaan laluan penghantar barang atau transshipment di pelabuhan-pelabuhan negara. 

"JTI telah mengingatkan kerajaan untuk membanteras penipuan ini dengan mengenakan sekatan ke atas transshipment produk tembakau dan menetapkan satu sahaja laluan masuk bagi memudahkan kerja pihak berkuasa," jelasnya lagi.

Peningkatan produk tembakau tidak sah menyebabkan negara kehilangan hasil sebanyak RM5 bilion dan RM2 bilion daripada vape tidak sah pada setiap tahun. - DagangNews.com