Perdana Menteri belum fikir rombak kabinet, fokus bantu rakyat terjejas banjir | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri belum fikir rombak kabinet, fokus bantu rakyat terjejas banjir

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan tinjauan ke atas mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor.

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih belum memikirkan sebarang rombakan kabinet sebaliknya tumpuannya lebih terarah kepada usa membantu mangsa banjir di dalam negara ini.

 

Beliau menegaskan, perkara utama yang harus diberikan fokus adalah menguruskan negara dalam mendepani pasca banjir selain memikirkan kaedah untuk berhadapan ancaman varian Omicron COVID-19.

 

Perdana Menteri berkata, rombakan kabinet hanya satu spekulasi kerana sehingga hari ini beliau masih belum membuat sebarang pengumuman mengenainya. 

 

"Sekarang ini fokus utama adalah mengenai banjir dan membantu rakyat.

 

"Benda-benda lain (rombakan kabinet), masih belum difikirkan, biarlah dahulu.

 

"Sekarang ini rakyat tengah susah, kita fokus kepada banjir dahulu. Selagi saya tidak buat sebarang pengumuman ia hanya spekulasi," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: TIGA MENTERI BAKAL DIGUGURKAN?

 

Difahamkan, dua menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bakal digurkan kerana gagal memberi khidmat cemerlang kepada rakyat selain menimbulkan kontroversi semasa bencana banjir.

 

Selain mereka, Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique dari parti UMNO juga berada dalam senarai pengguguran. - DagangNews.com