Perdana Menteri beri jaminan bekalan elektrik akan disambung segera selepas banjir surut | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri beri jaminan bekalan elektrik akan disambung segera selepas banjir surut

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa bekalan elektrik akan segera disambung selepas banjir mula surut.

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bekalan elektrik akan disambung secepat mungkin apabila banjir mulai surut.

 

Beliau berkata, langkah itu akan diambil selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan selain pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan tiada kerosakan besar berlaku kepada pencawang mereka.

 

Perdana Menteri berkata, memandangkan masih ada kawasan yang ditenggelami banjir, TNB terpaksa menangguhkan penyambungan bekalan elektrik ke kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

 

"Saya telah mengarahkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli membuat penyambungan bekalan elektrik secepat mungkin apabila selamat kepada kawasan terjejas banjir.

 

"Mangsa banjir perlu bekalan elektrik untuk mencuci rumah, mengepam keluar air banjir, pencahayaan serta keselesaan mereka," katanya menerusi laman Twitter, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, lebih 350 kawasan di Lembah Klang terputus bekalan elektrik ekoran banjir.

 

tnb

 

Beliau berkata, atas faktor keselamatan awam, TNB terpaksa memutuskan bekalan elektrik buat sementara kerana air masih berada pada paras berbahaya.

 

tnb

 

"Litar pintas boleh berlaku dan boleh menjadi punca kepada kebakaran," katanya. - DagangNews.com