Perdana Menteri beri sokongan program bantuan guaman Parfum | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri beri sokongan program bantuan guaman Parfum

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menyampaikan anugerah khas James Low Hong Ping pada majlis anjuran Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (Parfum) di Parlimen, hari ini. - Gambar- BERNAMA

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Dis - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberikan sokongan selaku alumni Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) kepada program bantuan guaman Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (Parfum).

 

Inisiatif Parfum itu bertujuan membantu orang kena tuduh (OKT) khususnya menghadapi hukuman berat yang hadir di mahkamah tanpa representasi, berikutan masalah kewangan.

 

Beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM100,000 untuk Parfum melaksanakan pelbagai programnya.

 

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada majlis anugerah khas James Low Hong Ping anjuran Parfum di bangunan Parlimen hari ini, lapor Bernama.

 

Antara alumni fakulti berkenaan hadir pada majlis itu ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Presiden Parfum, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

 

Terdahulu, Shahrizat dalam ucapannya berkata program berkenaan penting bagi membantu mereka yang memerlukan bagi menambah bantuan guaman sedia ada seperti Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan dan Bar Council Legal Aid.

 

Perdana Menteri turut memuji pelbagai program dilaksanakan ahli Parfum dalam membantu generasi pelajar baharu Fakulti Undang-Undang UM, walaupun telah lama meninggalkan alam kampus dan sibuk dengan kerjaya masing-masing.

 

Pada majlis itu, Ismail Sabri menyampaikan anugerah khas berkenaan kepada dua alumni Fakulti Undang-Undang UM iaitu Loh Wei Siong dan Ang Shin Yee yang masing-masing merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dan cerebral palsy.

 

Anugerah itu bagi mengiktiraf alumni fakulti itu dengan mengambil semangat mendiang Hong Ping yang berjaya membuktikan status OKU tidak menghalangnya daripada memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang undang-undang.

Hong Ping yang mempunyai penyakit Atrofi Otot Spinal (SMA) meninggal dunia pada 27 Mei 2020. - DagangNews.com