Perdana Menteri diminta pertimbang 3 individu bagi jawatan Menteri Kewangan II | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri diminta pertimbang 3 individu bagi jawatan Menteri Kewangan II

Tiga nama yang dicadangkan bagi jawatan Menteri Kewangan II termasuk Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kiri), Prof Dr. Ong Kian Ming (tengah) dan Tan Sri Abdul Wahid Omar (kanan)
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta untuk memberikan pertimbangan terhadap tiga individu berpengalaman luas dalam bidang ekonomi termasuk Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Professor Dr. Ong Kian Ming dan Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai calon Menteri Kewangan II.

 

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, calon Menteri Kewangan II perlu bersih dan bebas daripada sebarnag kes mahkamah selain diterima oleh semua parti serta dapat bekerjasama dengan semua pihak.
 

Beliau berkata,  calon bagi jawatan itu juga dapat meringankan beban Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, kerana portfolio kewangan ini adalah antara yang paling intensif dan memerlukan perhatian sepanjang masa dan pada masa sama, calon berkenaan perlu mempunyai pemahaman mendalam mengenai isu-isu kewangan dan ekonomi, serta mendapat kepercayaan sektor swasta.

 

"Antara tiga calon yang dapat memenuhi kriteria yang dicadangkan adalah ahli parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Sebagai naib presiden UMNO, mantan Menteri Kewangan II serta ahli perniagaan berpengalaman, beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman untuk tanggungjawab tersebut. 

 

"Calon kedua yang dapat memenuhi kriteria yang dicadangkan adalah mantan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Professor Dr Ong Kian Ming di mana sebelum ini beliau telah membina hubungan kerja yang kukuh dengan sektor swasta dan pelabur asing, dan faham selok-belok serta jalinan antara dasar kewangan dan pertumbuhan ekonomi serta perniagaan.

 

"Tan Sri Abdul Wahid Omar, mantan Menteri Kewangan dan pengerusi Bursa Malaysia merupakan calon ketiga yang layak kerana dihormati dan disenangi oleh sektor swasta, mempunyai pengetahuan teknikal serta pengalaman menyandang jawatan itu serta dapat bekerja dengan baik dengan pihak berkepentingan yang lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, William berkata, Perdana Menteri juga boleh melantik salah seorang daripada dua Timbalan Menteri Kewangan ketika ini iaitu Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim bagi dilantik ke jawatan itu. 

 

"Sebagai persatuan PKS tertua dan terbesar di Malaysia, SAMENTA akan terus menyokong usaha kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi negara, dan meningkatkan produktiviti dan keupayaan PKS negara," katanya. - DagangNews.com