Perdana Menteri mahu bantuan kewangan mangsa banjir disegerakan | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri mahu bantuan kewangan mangsa banjir disegerakan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat pelarasan banjir bersama Menteri-Menteri Besar secara dalam talian di Putrajaya, pagi tadi.

 

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu pembayaran bantuan kewangan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terjejas banjir disegerakan.

 

Beliau telah membangkitkan perkara itu semasa mempengerusikan mesyuarat khas bersama menteri besar negeri yang terlibat banjir supaya memberi fokus kepada operasi pasca  bencana alam itu.

 

"Perkara ini sudah diumumkan, kerajaan akan sediakan peruntukan awal. Peruntukan awal RM100 juta untuk membaik pulih sama ada jambatan, jalan, infrastruktur lain termasuk rumah. 

 

"Pada masa sama, kerajaan bersetuju salurkan RM1,000 per keluarga. Setiap keluarga terkesan akibat banjir. Nama perlu dihantar kepada pejabat daerah berkaitan. 

 

"Saya nak ia dipercepatkan supaya pembayaran tidak perlu tunggu lama," katanya selepas melawat mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Besar D' Sury, Jelebu, lapor Bernama.

 

Perdana Menteri, juga mahu urusan pembersihan pasca banjir di kawasan yang terlibat dipercepatkan bagi memudahkan urusan penduduk untuk kembali ke kediaman masing-masing. 

 

"Saya harap urusan penduduk kembali ke kediaman masing-masing disegerakan dan tidak mahu nanti jika lewat memberikan kelulusan akan menjejaskan kemasukan mangsa ke rumah masing-masing," katanya. 
 

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan menguruskan serta memberi arahan kepada agensi terlibat termasuk bomba, tentera, polis dan pihak majlis daerah yang mempunyai peralatan mencukupi supaya membantu mempercepatkan proses pembersihan di kediaman yang terjejas. 

 

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya mengalu-alukan pihak badan bukan kerajaan (NGO) untuk turun padang bagi membantu proses pembersihan namun merek diminta untuk memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak berkaitan. 

 

"Saya percaya ramai NGO akan terlibat cuma kita harap mereka ini maklumkan kehadiran supaya memudahkan pusat bantuan banjir daerah mengatur mereka untuk terlibat dalam misi membantu mangsa banjir," katanya. - DagangNews.com