Perdana Menteri tegaskan isu jaminan halal penting untuk ditangani | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri tegaskan isu jaminan halal penting untuk ditangani

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, sebarang isu yang berkait dengan jaminan halal adalah penting untuk ditangani dalam usaha mempromosikan halal kerana ia berisiko merosakkan imej halal yang diusahakan selama ini.

 

Ismail Sabri berkata, jaminan halal yang dimaksudkan merujuk kepada keyakinan pengguna, penyeragaman, pensijilan dan akreditasi.

 

Beliau berkata, pengesahan dan piawaian produk halal Malaysia bermula pada 1974 apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diberi mandat menyediakan surat akuan pengesahan halal kepada produk yang mematuhi keperluan syariah.

 

"Kini, lebih 8,000 syarikat di Malaysia diiktiraf halal, yang mana lebih 20% daripadanya adalah syarikat pengeksport. JAKIM turut bekerjasama dengan badan pensijilan halal dari pelbagai negara untuk keseragaman piawaian dalam pematuhan kepada undang-undang syariah," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Halal Antarabangsa ke-18 (MIHAS 2022) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini, hari ini.

 

Menurut Perdana Menteri, halal sesuai untuk semua pengguna tanpa mengira bangsa dan agama kerana ia berkait rapat dengan jaminan kualiti, pemuliharaan persekitaran, integriti dan ketelusan data serta amalan perniagaan yang lestari.

 

"Halal tidak tertakluk kepada penyediaan makanan dan minuman sahaja, tetapi ia juga sesuai diaplikasikan dalam pelbagai sektor industri dan perkhidmatan. Konsep halal terbukti bersifat sejagat untuk diguna pakai oleh semua," katanya.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Peluang bagi pembangunan industri halal sentiasa terbuka luas berikutan populasi Muslim global kini mencecah 1.9 bilion pada tahun lepas, katanya.

 

"Ini menunjukkan potensi tinggi dalam mempelbagaikan industri halal secara lebih inklusif dan komprehensif dalam jangka masa panjang," katanya.

 

Beliau berkata, arus globalisasi dan kemajuan dalam pengkomersialan meningkatkan permintaan terhadap produk serta perkhidmatan halal dalam kalangan pengguna dari setiap lapisan masyarakat.

 

 

pm

 

 

pm

 

 

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa bangga apabila Malaysia berjaya mengekalkan tempat teratas dalam tempoh sembilan tahun berturut-turut berdasarkan Petunjuk Ekonomi Islam Global yang terkandung dalam laporan 'State of the Global Islamic Economy 2022', menandingi 81 negara lain.

 

"Penilaian ini telah dibuat berlandaskan inisiatif digitalisasi ekonomi, pembangunan infrastruktur halal dan peningkatan fokus kerajaan terhadap sekuriti makanan dan penjagaan kesihatan," katanya.

 

Beliau berkata, Petunjuk Ekonomi Islam Global ini turut meramalkan bahawa pasaran halal akan berkembang daripada RM8.8 trilion (AS$2.09 trilion) seperti yang dilaporkan tahun lepas kepada hampir RM14 trilion (AS$3.27 trilion) menjelang 2028.

 

 

pm

 

 

Katanya, konflik geopolitik serta sekatan perjalanan yang masih dikuat kuasakan di negara-negara tertentu telah mengganggu pengeluaran dan seterusnya mengakibatkan kelewatan penghantaran.

 

"Meskipun begitu, dijangkakan bahawa impak luar sebegini hanya bersifat sementara kerana terdapatnya peningkatan permintaan produk halal oleh komuniti antarabangsa dan juga peningkatan sektor e-dagang yang didorong oleh digitalisasi.

 

"Justeru, operasi perniagaan pada masa kini perlu dijalankan dengan menggunakan kaedah dan pendekatan terkini. Ianya adalah suatu kemestian dan bukan lagi satu pilihan," katanya.

 

Tambah beliau, transformasi dan kepelbagaian dalam industri halal membolehkan perdagangan menjadi lebih berdaya saing dan seterusnya membantu memulihkan ekonomi. - DagangNews.com