Pergerakan penumpang susut, pendapatan Q4 MAHB jatuh 80.4% | DagangNews Skip to main content

Pergerakan penumpang susut, pendapatan Q4 MAHB jatuh 80.4%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Penularan COVID-19 sehingga mengheret turun pergerakan penumpang perjalanan udara menyebabkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mencatatkan pendapatan bagi suku tahun berakhir 31 Disember 2020 (4Q20) menyusut dengan ketara sebanyak 80.4%. 

 

Pada suku berkenaan, MAHB menyaksikan pendapatannya merosot daripada RM1.34 bilion kepada RM263.64 juta, menurut kumpulan syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia. 

 

Jelasnya, pendapatan daripada operasi lapangan terbang juga menurun sebanyak 83.2% kepada RM215.2 juta bagi suku tahun sama. 

 

“Trafik penumpang bagi operasi Malaysia menguncup sebanyak 92.3% (antarabangsa:-98.6%, domestik: -85.8%) kepada 2.1 juta penumpang berbanding 27.3 penumpang dicatatkan bagi suku sama, pada tahun sebelumnya. 

 

“Trafik penumpang bagi operasi Turki menguncup sebanyak 47.2% (antarabangsa:-61.1%, domestik: -37.7%) kepada 4.7 juta penumpang berbanding 8.9 juta dicatatkan pada suku sama dalam tahun sebelumnya,” jelas MAHB.

 

Menurut MAHB, secara keseluruhannya, operasi di Malaysia dan Turki masing-masing mencatatkan penguncupan pendapatan sebanyak 90.1% kepada RM98.5 juta dan 55.5% kepada RM141.8 juta. 

 

Sementara itu, pendapatan operasi di Qatar juga menyusut daripada RM27.1 juta kepada RM23.3 juta bagi tempoh sama. 

 

Disebabkan oleh penularan pandemik yang masih berlanjutan, MAHB mencatatkan penguncupan hasil mencecah sebanyak 64.2% kepada RM1.87 bilion bagi tempoh sepanjang tahun kewangan 2020 (FY20).

 

MAHB juga tidak mengisytiharkan dividen bagi suku berkenaan.

 

Dalam kenyataan media berbeza, MAHB berkata, pihaknya telah mengekalkan kecemerlangan operasi sepanjang tahun lalu walaupun melaksanakan langkah pengurangan kos yang besar ketika persekitaran operasi mencabar dan tidak dijangka. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pencapaian itu disebabkan oleh perolehan yang terhad kerana pengurangan trafik dan pengurangan perbelanjaan yang besar untuk mengekalkan tahap kecairan.

 

Mohd. Shukrie Mohd. Salleh
Mohd. Shukrie Mohd. Salleh

 

"Kami tidak menyimpang dari tujuan asal untuk mencapai kecemerlangan di KUL (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur - KLIA) kerana sangat penting untuk memastikan lapangan terbang itu bersedia demi masa depan.

 

“Walau bagaimanapun, inisiatif untuk mengoptimumkan kecemerlangan operasi dan meningkatkan tahap perkhidmatan tidak menghalang usaha kumpulan untuk menguruskan struktur kosnya.

 

“Sepanjang tahun lalu, kumpulan syarikat mengurangkan perbelanjaan secara agresif dan mencapai pengurangan sebanyak 36.3% daripada jumlah kos yang menjadi simpanan berjumlah RM1,155.7 juta, melepasi sasaran 20.0%,” katanya.

 

Tambah kenyataan itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) terus memainkan peranan penting, menyumbang 17.2 juta penumpang atau 40% daripada jumlah trafik kumpulan syarikat bagi FY20. 

 

Sementara operasi di Malaysia, KLIA mencatatkan 78.9% penguncupan trafik penumpang kepada 13.2 juta bagi tempoh sama selain lapangan terbang lain di dalam negara mencatatkan penurunan agregat sebanyak 70.6% kepada 12.6 juta penumpang. 

 

Jelas MAHB, sektor domestik kekal menjadi tunjang kepada pemulihan trafik bagi operasi di Malaysia.

 

Bagi prospek tahun kewangan seterusnya, MAHB melihat pengedaran vaksin di seluruh global bermula Disember 2020 memberi harapan untuk melonjakkan semula industri berkenaan.

 

“Malaysia dan Turki masing-masing telah memulakan fasa vaksinasi pertama pada bulan ini dan Januari. 

 

“Usaha positif lain juga telah dimulakan termasuk Laluan Hijau Balik / Pengaturan Koridor Perjalanan (RGL/TCA) antara Malaysia dan Indonesia, serta program Sijil Pelancongan Selamat oleh kerajaan Turki. 

 

“Seiring fokus kumpulan syarikat dalam memastikan kecemerlangan operasi dan keselamatan berterusan, ini akan menjadi impak positif kepada industri perjalanan dalam bulan-bulan mendatang dan menyumbang kepada pemulihan secara beransur,” tambahnya. - DagangNews.com