Pergolakan politik risiko utama 'diperhati' pelabur | DagangNews Skip to main content

Pergolakan politik risiko utama 'diperhati' pelabur

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Selain pandemik COVID-19, pergolakan politik kekal sebagai risiko utama kepada pasaran ekuiti Malaysia untuk terus melonjak semula pada tahun ini.

 

Menurut CGS-CIMB Research, FBM KLCI menokok 10.9% pada dua bulan terakhir pada 2020 susulan pengumuman vaksin percubaan Pfizer pada 9 November yang dikatakan berkesan sehingga 90% menentang COVID-19. 

 

Bagaimanapun, peningkatan semula kes COVID-19 telah mendorong kerajaan untuk melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

 

Ditambah dengan kebimbangan terhadap isu politik, ini mendorong pelabur untuk kembali ‘mengintai’ dan melabur ke dalam sektor yang menerima manfaat akibat pandemik itu. 

 

“Disebabkan itu, FBM KLCI menjunam 3.7% bulan ke bulan dan berprestasi terburuk antara pasaran MIST-Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. 

 

“Kami menjangkakan penjualan dana asing akan menurun pada tahun 2021 kerana kebanyakan mereka cenderung ke arah ‘underweight’ atau memegang ‘weightage’ sifar kerana bimbang terhadap ketidakstabilan politik.

 

“Risiko utama terhadap ramalan pertumbuhan pendapatan kami untuk syarikat Malaysia terletak pada penangguhan vaksinasi, harga komoditi yang lebih lemah daripada yang dijangkakan, kejatuhan ASP untuk sarung tangan, kos kredit yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan untuk bank dan gelombang baharu COVID-19 yang mendorong sekatan pergerakan baharu dan ketidakstabilan politik,” jelas CGS-CIMB dalam laporannya.

 

Jika disingkap prestasi pasaran ekuiti Malaysia, FBM KLCI menyaksikan penurunan mendadak sewaktu pertama kali negara berdepan pergolakan politik di mana perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sekitar Februari tahun lalu. 

 

Jadual
DATA yang menunjukkan prestasi FBM KLCI sepanjang tahun lalu dan peristiwa yang mendorong pasaran ekuiti tempatan. Kredit: CGS-CIMB Research

 

Malah, FBM KLCI menjunam lebih 20 mata selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu pada 23 September tahun lalu. 

 

CGS-CIMB Research tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mungkin diadakan selepas Proklamasi Darurat tamat pada 1 Ogos 2021. 

 

Situasi kedua mungkin selepas negara berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19 menerusi program vaksinasi besar-besaran yang menyasarkan imuniti kelompok menjelang suku pertama 2021 (1Q21).


“Dalam jangka masa pendek, sekiranya PRU-15 diadakan, ini akan mendorong kepada pengambilan keuntungan dalam pasaran ekuiti kerana tercetusnya ketidaktentuan terhadap potensi keputusan pilihan raya berkenaan,” tambah CGS-CIMB.

 

PRU-15 boleh dilaksanakan sebelum 16 September 2023. 

 

Malah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebanyak dua kali menyatakan hasratnya untuk menjalankan PRU-15 setelah kes COVID-19 terkawal. 

 

Menurut CGS-CIMB, Muhyiddin membayangkan perancangannya untuk mengembalikan mandat dan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih kerajaan.

 

“Sehubungan itu, kemungkinan PRU-15 diadakan selepas pandemik COVID-19 terkawal adalah tinggi,” tambah firma penyelidikan itu lagi.

 

CGS-CIMB mengunjurkan FBM KLCI mencecah 1,759 paras asas bagi penghujung tahun ini selepas mengambil kira ramalan mudah tunai yang lebih tinggi dan ketidaktentuan politik. - DagangNews.com