Perincian projek ECRL permudahkan urusan pemberian kontrak | DagangNews Skip to main content

Perincian projek ECRL permudahkan urusan pemberian kontrak

Jajaran terbaharu ECRL 3.0

Jajaran terbaharu ECRL 3.0.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 April - Segala perincian berkaitan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilihat dapat membantu memudahan urusan pemberian kontrak dengan lebih pantas.

 

MIDF Research berkata, ia termasuk butiran yang jelas berkaitan dengan semakan kos pembinaan projek berkenaan.

 

"Kami percaya perincian yang sangat diperlukan berkaitan projek ECRL serta semakan kos yang lebih tinggi dapat memudahkan pemberian kontrak yang lebih cepat dan lebih banyak peluang kerja bagi kontraktor tempatan.

 

"Ia turut membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha membangunkan kemajuan melalui pembangunan infra," jelas MIDF Research.

 

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mengesahkan projek ECRL merangkumi Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Bentong, Gombak dan Serendah akan kembali ke jajaran asal dengan gabungan infrastruktur Serendah Bypass.

 

Baca: Projek ECRL atas jajaran asal telan kos RM50 bilion  

 

Pengesahan berkenaan memerlukan penambahan 25 kilometer (km) bagi menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pelabuhan Barat dan Utara, sekali gus menjadikan projek berkenaan sepanjang 665km.

 

Nilai keseluruhan projek berkenaan telah disemak dan ditingkatkan sekitar RM50.0 bilion, meningkat 14% atau RM6.0 bilion.

 

Wee Ka Siong turut memaklumkan urusan pelarasan bersama kerajaan negeri Selangor turut diselesaikan.

 

Pelaksanaan ECRL di jajaran asal yang turut melibatkan jajaran utama mampu disiapkan dalam tempoh tujuh tahun dan operasi dijangka bermula pada 2027.

 

Setakat Mac 2021, pembinaan ECRL telah mencapai tahap 21.39% untuk disiapkan.

 

Mengulas lanjut, MIDF Research memberitahu, penyertaan tempatan dalam kerja awam projek tersebut meningkat kepada sekurang-kurangnya 40% berbanding hanya 30% pada sebelumnya.

 

"Oleh itu, kami berpendapat bahawa perkembangan ini dapat memberi pentanda baik kepada kontraktor rel tempatan yang berpengalaman khususnya Gabungan AQRS, IJM Corp, SunCon, Gamuda dan WCT," jelas MIDF Research. - DagangNews.com