Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Perjalanan domestik penting oleh syarikat penerbangan AirAsia Berhad tetap beroperasi sepanjang sekatan rentas negeri dikuatkuasakan, namun penumpang perlu mendapatkan kebenaran sah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, penumpang yang mempunyai tempahan penerbangan antara 13 dan 26 Januari 2021 yang terjejas dan tidak dapat melakukan perjalanan dalam tempoh berkenaan boleh membatalkan penerbangan mereka secara sukarela.
Sebagai alternatif, mereka juga boleh memilih untuk menukar tarikh penerbangan sebelum 31 Mac 2021 di laluan yang sama tanpa had dan bayaran tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
“AirAsia mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dari 13 hingga 26 Januari 2021 seperti yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia. Para tetamu juga perlu mematuhi syarat-syarat kemasukan yang ditetapkan oleh negeri-negeri tertentu.
“Para tetamu yang terjejas akan segera dimaklumkan melalui e-mel dan/atau SMS mengenai pilihan yang ditawarkan kepada mereka.
Baca : Kebimbangan terjawab, 6 negeri dikenakan PKP selama 14 hari
“Kami ingin menasihatkan para tetamu yang bakal membuat perjalanan penting untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan, memeriksa semua keperluan perjalanan dan mengamalkan kebersihan diri yang tinggi pada setiap masa,” jelas kumpulan syarikat penerbangan itu dalam sebuah kenyataan.
Semalam, enam buah negeri dikenakan semula PKP bermula tengah malam ini sehingga 26 Januari.
Selain rentas negeri, perjalanan rentas daerah juga tidak dibenarkan dan hanya dihadkan kepada radius perjalanan 10 kilometer dari rumah.
Dalam nota kajian CGS-CIMB Research, sektor penerbangan antara yang dijangka terjejas akibat pelaksanaan PKP, berdasarkan penilaian awal firma penyelidik itu.
CGS-CIMB menjangkakan Malaysia bakal mengalami kerugian sehingga RM10 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi setiap dua minggu tempoh pelaksanaan PKP.
Baca : PKP 2.0 ‘kikis’ RM10 bilion daripada KDNK
TIdak sampai sehari PKP diumumkan, kerajaan hari ini membuat pengumuman khas mengenai Proklamasi Darurat yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk diisytiharkan sehingga 1 Ogos depan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa darurat ini bukan berbentuk satu rampasan pemerintahan tentera, malah perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.
Baca : Apa anda perlu tahu tentang Proklamasi Darurat?
Sebaliknya, sepanjang tempoh darurat ini, kerajaan awam akan terus berfungsi.- DagangNews.com