Perlu agihkan lagi bantuan tangani impak PKP 2.0 | DagangNews Skip to main content

Perlu agihkan lagi bantuan tangani impak PKP 2.0

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Lebih banyak bantuan perlu diagihkan dalam tempoh terdekat bagi mengimbangi kesan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP). 

 

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi ASEAN HSBC Global Research, Joseph Incalcaterra berkata, ruang untuk rangsangan dasar fiskal adalah terhad di sebalik peningkatan harga minyak baru-baru ini. 

 

"Namun, kerajaan kemungkinan akan memperuntukkan semula perbelanjaan untuk tindakan jangka pendek tetapi tidak menjangkakan sebarang pakej baharu yang besar. 

 

"Ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada dasar kewangan" katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Malah, beliau turut menekankan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai ruang dasar mencukupi yang boleh digunakan untuk menghadapi kesan aktiviti ekonomi dan tekanan deflasi yang baru.   

 

"Kami menjangkakan BNM akan menggunakan ruang dasar pada mesyuarat 4 Mac ini untuk mengurangkan 25 mata asas bagi kadar dasar semalaman (OPR), menurun kepada 1.50%," jelasnya. 

 

Firma itu menyifatkan tindak balas dasar yang diambil kerajaan telah membantu mengelakkan lebih banyak kerosakan di sebalik gangguan pandemik COVID-19. 

 

Perkara ini, katanya, dapat dilihat menerusi sokongan dasar fiskal secara bersasar membolehkan pasaran buruh berdaya tahan manakala moratorium dan kemudahan subsidi membantu kedudukan kewangan pengguna dan perniagaan. 

 

Pada 27 Mac lalu, kerajaan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebagai pakej bantuan sulung mendepani impak wabak.

 

Pakej tersebut disusuli oleh Pakej Prihatin PKS (Tambahan), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan tambahan RM10 bilion melalui pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin.

 

Kesemua 4 pakej rangsangan ekonomi tersebut bernilai RM305 bilion atau lebih 20% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan melibatkan RM55 bilion suntikan fiskal oleh kerajaan.

 

Bagi mendepani impak PKP 2.0, kerajaan menyediakan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion.

 

Minggu lalu, BNM mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2020 yang menyaksikan ekonomi Malaysia menguncup 3.4% menjadikan keseluruhan pertumbuhan KDNK 2020 pada -5.6% setelah 3 suku berturut-turut mencatat pertumbuhan negatif.

 

Pertumbuhan ekonomi itu adalah sejajar dengan unjuran HSBC Global tetapi di bawah unjuran kerajaan antara 3.5 hingga 4.5%. 

 

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam nota kajian berkata, ekonomi negara bersedia mencatatkan pemulihan, susulan jumlah kes aktif COVID-19 mula berkurangan dan PKP semakin dilonggarkan.

 

Bank pelaburan itu menjangkakan pertumbuhan KNDK Malaysia pada 5.1% tahun ini.

 

Menurutnya, bank-bank di Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh semasa menghadapi krisis COVID-19 dengan kedudukan modal berhemat yang dibangunkan sejak bertahun-tahun dan kini berada di atas 13% bagi semua bank, manakala CIMB pada 12.9%.

 

"Ini membolehkan bank-bank mengharungi cabaran semasa dengan baik, justeru, kami menaikkan saranan kepada ‘positif’ daripada ‘neutral’ bagi sektor perbankan, didorong prospek pemulihan ekonomi tahun ini dan unjuran lebih baik terhadap bank-bank," katanya. - DagangNews.com