Perluaskan SST salah satu cara lonjak pendapatan kerajaan, kata Menteri Kewangan | DagangNews Skip to main content

Perluaskan SST salah satu cara lonjak pendapatan kerajaan, kata Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kerajaan tidak menafikan bahawa menerusi perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) merupakan salah satu cara untuk mengembangkan asas hasil kerajaan, tetapi ia perlu dilaksanakan pada waktu yang tepat. 

Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan sedang meneroka beberapa pilihan untuk memperkukuh ekonomi.

“Apa yang penting adalah memperluas asas pendapatan kerajaan.

“Tetapi, ia perlu dilakukan pada waktu tepat kerana kita perlu mempertimbangkan impaknya ke atas masyarakat, ekonomi, kos sara hidup dan sebagainya,” kata Tengku Zafrul seperti dilaporkan Bernama. 

Beliau berkata kepada radio BFM ketika ditanya sekiranya kerajaan mempertimbangkan untuk memperluas dan meningkatkan SST.

Ini adalah ekoran peningkatan yang diharapkan dalam produk domestik kasar (PDB) menjelang 2021, sekitar 5.5% hingga 8%.

Tambah Tengku Zafrul, kementeriannya tidak menolak sebarang kemungkinan atau kaedah percukaian selagi adil.

Jelasnya, kerajaan perlu mengoptimumkan kutipan cukai yang ada selain terdapat banyak kebocoran yang perlu dikaji semula. 

“Kita perlu mengkaji semula skop cukai dan sejauh mana kecekapannya ke atas sistem percukaian ketika ini.

“Kami sedang mempertimbangkan langkah serta menguruskan ekonomi haram,” ujarnya. - DagangNews.com