Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Jan. - Rasional Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bertujuan merapatkan beberapa jurang rakyat yang terkesan.
Ini susulan bencana banjir yang teruk dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di seluruh negara kecuali Sarawak tidak termasuk dalam perancangan Belanjawan 2021 semasa dibentangkan di Parlimen pada 6 November tahun lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa Permai membuktikan komitmen kerajaan yang mendengar dalam menyelamatkan nyawa serta memastikan punca rezeki rakyat dan perniagaan terbela.
“Kerajaan juga ingin mengingatkan bahawa langkah-langkah di bawah Belanjawan 2021, yang kesemuanya bernilai RM322.5 bilion, baru sahaja mula dilaksanakan.
“Melindungi nyawa rakyat adalah menjadi keutamaan kerajaan ekoran kadar jangkitan harian yang masih tinggi.
“Justeru, strategi penambahbaikan di bawah Permai digubal dari pelbagai segi,” katanya ketika menyampaikan Laporan Laksana Ke-37 hari ini.
Peruntukan sehingga RM15 bilion di bawah Permai meliputi peruntukan baharu, mempercepatkan penyampaian inisiatif, memperluaskan skop penyampaian termasuk kelonggaran syarat, atau memperkenalkan beberapa inisiatif baharu.
Terdapat 22 inisiatif di bawah Permai yang antara lain melibatkan penambahbaikan beberapa langkah-langkah pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021.
“Kerajaan juga telah melancarkan sebuah portal interaktif Belanjawan 2021 bagi memudahkan rakyat dan perniagaan menyemak pelbagai bantuan langsung dan insentif yang layak dipohon oleh mereka.
“Sama ada individu mahupun sektor perniagaan dijemput melayari http://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/ untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai insentif-insentif tersebut dan cara-cara untuk memohonnya.
“Laman web tersebut juga memuatkan inisiatif-inisiatif di bawah Permai,” tambahnya lagi. - DagangNews.com