Permai tepat pada masa - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Permai tepat pada masa - Penganalisis

Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Landskap pergerakan ekonomi mula berubah apabila negara kita terpaksa melaksanakan semula PKP bermula 13 Januari di enam buah negeri.

 

Tidak terhenti disitu, penularan wabak COVID-19 terus mengancam rakyat hingga memaksa kerajaan untuk meluaskan PKP di Kelantan, tiga daerah Sarawak iaitu Sibu, Selangau dan Kanowit serta daerah Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan.

 

Perintah tersebut secara tidak langsung mengganggu proses perkembangan ekonomi negara dan mengundang keresahan rakyat dan peniaga.

 

Pada mereka, kesan negatif ekonomi yang disangka kembali pulih akan mula dirasai kembali.

 

Benar, PKP kali kedua yang diperkenalkan ini memberi kebenaran kepada sektor ekonomi penting untuk terus beroperasi seperti pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.

 

Rata-rata penganalisis berpendapat, pelaksanaan PKP 2.0 perlu disertakan dengan pakej rangsangan yang ditambahbaik bagi membantu ekonomi rakyat dan negara.

 

Genap enam hari pelaksaaan PKP 2.0 semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang bernilai RM15 bilion.

 

Baca: PM umum Permai, pakej rangsangan baharu bernilai RM15 bilion

 

Mengulas berkaitan pakej tersebut, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bantuan Permai yang diumumkan semalam adalah signifikan dan tepat pada masanya.

 

"Dengan penyaluran bantuan dan inisiatif berjumlah RM15 bilion itu diharap mampu menangani sebarang masalah atau kekangan kewangan dalam masa yang terdekat seperti pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Program Subsidi Upah (PSU), geran khas kepada PKS dan juga penambahbaikan inisiatif seperti pemberian rebat elektrik dan bayaran pendahuluan RM1,000 dalam i-Sinar Kategori 2. 

 

"Kebanyakan inisiatif yang bersifat suntikan fiskal secara langsung mampu menjana dan memulihkan ekonomi golongan yang terjejas dengan segera.

 

"Namun kita masih memerlukan pelaksanaan kesemua inisiatif di dalam Belanjawan 2021 untuk memastikan pemulihan ekonomi negara kita dapat dicapai seperti yang diharapkan," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Ahmed Razman Abdul Latiff
Ahmed Razman Abdul Latiff 

 

Pakej bantuan Permai diumumkan adalah untuk menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan. 

 

Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah pakej tersebut yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

 

Inisiatif kerajaan ini perlu disambut baik untuk terus bertahan mengharungi situasi ekonomi semasa.

 

Bagaimanapun, selepas pengumuman tersebut dibuat semalam, ada pihak yang meluahkan kebimbangan bahawa bantuan Permai berjumlah RM15 bilion itu secara tidak langsung akan menjejaskan kedudukan fiskal negara.

 

Ahmed Razman memberitahu, perkara tersebut hanya akan terjadi sekiranya kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan lain dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

"Memandangkan sebahagian besar peruntukan di bawah Permai ini adalah peruntukan yang telah diluluskan di dalam Belanjawan 2021, ianya tidak akan memberi kesan yang ketara kepada defisit fiskal untuk tahun ini. 

 

"Namun jika ada lagi pakej rangsangan ekonomi diumumkan dalam beberapa bulan akan datang, sudah tentu ini akan menambah beban hutang kerajaan persekutuan dan reformasi sistem monetari mungkin perlu dilakukan untuk memastikan kesinambungan ekonomi yang mampan," kata beliau lagi. 

 

Senada dengan pendapat tersebut, CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya juga menyatakan, kerajaan masih mempunyai ruang untuk memperuntukkan perbelanjaan tambahan termasuk pakej bantuan baharu iaitu Permai.

 

Baca: Kerajaan cukup sumber kewangan untuk beri Permai - CGS CIMB

 

Jelas nota kajian itu, sumber kewangan tersebut boleh dikendalikan dengan berhati-hati menerusi skop Belanjawan 2021 dan defisit fiskal sebanyak 5.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). - DagangNews.com