Permintaan, bekalan sarung tangan kembali stabil pada hujung 2023, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Permintaan, bekalan sarung tangan kembali stabil pada hujung 2023, kata Maybank IB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - Permintaan dan bekalan akan kembali stabil pada hujung 2023 selepas aktiviti penyimpanan semula disambung semula pada Jun ini diikuti dengan normalisasi permintaan sarung tangan pada 2024.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, unjuran yang dibuat pengeluar sarung tangan tempatan adalah berdasarkan keadaan bekalan sedia ada sebelum mengambil kira penyambungan semula atau pengembangan kapasiti yang berpotensi.

 

"Sentimen terhadap stok sarung tangan dilihat semakin positif sejak akhir-akhir ini dengan menjangkakan peningkatan kes COVID-19 dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, sentimen itu dijangka tidak berterusan kerana pembukaan semula China mungkin tidak akan menyebabkan peningkatan kes COVID-19 kerana imunisasi berkelompok dan peningkatan senarai negara yang mengenakan ujian terhadao ketibaan pelacong China.

 

Katanya, pemberian dos penggalak juga meningkat manakala bekalan sarung tangan di hospital kekal tinggi dan boleh bertahan dalam tempoh lima ke enam bulan.

 

"Paling penting, sebarang peningkatan permintaan sarung tangan harus diserap dengan baik kerana industri mempunyai kapasiti berlebihan dengan kadar penggunaan kilang yang rendah di bawah paras 50%.

 

"Semakan kami dengan pengeluar sarung tangan mendedahkan bahawa masih belum ada sebarang peningkatan ketara dalam tempahan," katanya.

 

Firma itu berkata, meskipun menjadi pengeluar sarung tangan terbesar dunia, kegagalan Top Glove untuk meningkatkan harga purata jualan (ASP) sebanyak 5% pada 4QFY22 memberikan isyarat negatif kepada sektor itu dan sekali gus kehilangan kedudukan dominan mereka kepada syarikat dari China.

 

"Kami percaya kunci kira-kira yang kukuh dan kecekapan kos adalah faktor penting yang akan membantu pengeluar sarung tangan untuk mengharungi kemelesetan.

 

"Kami juga mengekalkan pandangan negatif terhadap sektor itu," katanya. - DagangNews.com