Permintaan, harga produk minyak sawit lemah pengaruhi prospek pendapatan syarikat perladangan | DagangNews Skip to main content

Permintaan, harga produk minyak sawit lemah pengaruhi prospek pendapatan syarikat perladangan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Sept - Syarikat perladangan dijangka merekodkan hasil yang lebih lemah pada suku berikutnya berikutan harga produk minyak sawit yang lebih rendah.

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chye Wen Fei berkata, permintaan yang lemah turut mempengaruhi prestasi kewangan syarikat perladangan memandangkan ia akan menjejaskan permintaan bagi produk hiliran. 

 

Bagaimanapun, beliau mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah tahun ini sekitar RM5,500 satu tan metrik manakala bagi 2023 pula ia diunjur berlegar pada RM4,500 satu tan metrik diikuti RM3,800 satu tan metrik pada 2024.

 

"Kami dapati enam daripada lapan syarikat perladangan di bawah liputan kami merekodkan prestasi kewangan suku kedua yang memenuhi jangkaan firma. 

 

"Sime Darby Plantation Bhd. sebaliknya tersasar daripada jangkaan disebabkan pengeluaran buah tandan segar yang lebih lemah daripada jangkaan dalam operasi di Malaysia manakala IOI Corp. Bhd. pula mengatasi jangkaan kami berikutan prestasi segmen pembuatan yang lebih baik," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mendapati semua syarikat perladangan kecuali CB Industrial Product Holding Bhd. merekodkan untung bersih teras yang lebih tinggi dipacu terutamanya harga minyak sawit mentah direalisasikan yang lebih tinggi (tetapi sebahagiannya disederhanakan oleh pengeluaran buah tandan segar yang lebih rendah dan kos pengeluaran minyak sawit mentah yang lebih tinggi).

 

Malah, semua syarikat perladangan kecuali Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) merekodkan pengeluaran buah tandan segar yang lebih rendah disebabkan masalah kekurangan buruh dalam operasi di Malaysia. 

 

Menurut Wen Fei, kesemula pemain bersepadu di bawah liputannya merekodkan sumbangan segmen hiliran yang lebih tinggi pada suku kedua terutamanya disebabkan pengembangan margin (berpunca daripada harga bahan mentah yang lebih rendah).

 

Oleh itu, secara keseluruhan, beliau mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan dengan pilihan utamanya ialah KLK dan IOI Corp dengan kedua-duanya diberi saranan 'beli' pada harga sasaran masing-masing, RM26.80 dan RM4.65 sesaham.

 

Dalam kalangan syarikat perladangan di bawah HLIB, lima diberi penarafan 'pegang' iaitu CB Industrial, FGV Holdings Bhd., Hap Seng Plantations Bhd., Sime Darby Plantation dan TSH Resources Bhd. manakala Genting Plantations Bhd. diberi penarafan 'beli'. - DagangNews.com