Permintaan penyediaan wasiat asing catat peningkatan - Rockwills International | DagangNews Skip to main content

Permintaan penyediaan wasiat asing catat peningkatan - Rockwills International

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Pakar perancangan hartanah terkemuka, Rockwills International Group melihat terdapat peningkatan permintaan untuk penyediaan wasiat asing oleh rakyat Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Rockwills, Azhar Iskandar berkata, fenomena itu berlaku berikutan peningkatan pelaburan rakyat Malaysia di luar negara selain berlaku peningkatan kesedaran terhadap keperluan melindungi aset selain perancangan harta pusaka yang betul untuk waris mereka.

 

Rockwills yang merupakan pelopor dalam bidang penulisan wasiat dan perancangan harta pusaka di Malaysia menawarkan perkhidmatan penulisan wasiat asing melalui kerjasama firma guaman dan syarikat perancangan harta tanah di beberapa negara yang menjadi pilihan ramai pelabur Malaysia.

 

"Menerusi kerjasama dengan rakan kongsi yang mahir dengan undang-undang tempatan yang mengawal pemilikan aset asing, kami dapat memenuhi keperluan untuk menyediakan wasiat bagi melindungi kepentingan pelabur Malaysia di luar negara," kataya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Rockwills menerima permintaan tinggi untuk perkhidmatan penyediaan wasiat asing khususnya di Australia, New Zealand, United Kingdom, Amerika Syarikat, Singapura, Vietnam, Thailand, Indonesia, China, Hong Kong dan India.

 

Azhar berkata, lebih ramai rakyat Malaysia memiliki hartanah dan pelaburan di luar negara dalam usaha mempelbagaikan portfolio mereka dan menguruskan risiko pelaburan.

 

Beliau berkata, pandemik COVID-19 yang berlaku dalam tempoh dua tahun lalu membuatkan pelabur Malaysia lebih peka untuk membuat pelaburan yang baik.

 

rockwills
Azhar Iskandar

 

"Kami menyedari lebih ramai pelanggan kami meminta untuk meminda wasiat mereka untuk memasukkan hartanah dan pelaburan luar negara mereka.

 

"Lonjakan dalam pelaburan luar negara membawa cabaran yang berbeza untuk pelabur dan antaranya keperluan untuk mempunyai surat wasiat asing yang berasingan," katanya.

 

Wasiat asing yang berasingan akan menjimatkan kos guaman yang akan menjadi sangat mahal jika tidak dibuat lebih awal selain menjimatkan masa untuk pengesahan semula.

 

Pengesahan semula pada dasarnya adalah penetapan kesahihan Malaysia untuk menentukan pelaburan itu terletak di dalam negara komanwel atau sebaliknya kerana ia diperlukan terlebih dahulu sebelum mendapat pengesahan daripada negara luar. - DagangNews.com