Permintaan perkhidmatan logistik Tasco diunjur meningkat selaras pemulihan aktiviti perdagangan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Permintaan perkhidmatan logistik Tasco diunjur meningkat selaras pemulihan aktiviti perdagangan - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - MIDF Research mengunjurkan permintaan bagi perkhidmatan logistik Tasco Berhad meningkat selaras dengan pemulihan aktiviti perdagangan.

 

Firma penyelidikan itu meramalkan eksport dan import masing-masing sebanyak 4.5% dan 4.2% pada tahun hadapan meningkat semula daripada jangkaan penurunan tahun ini masing-masing sebanyak 6.4% dan -6.9%.

 

"Penghantar kargo kini telah meningkatkan kadar keterlihatan pendapatan berdasarkan kemampuan kumpulan itu mengekalkan kadar tertentu untuk sesuatu tempoh berbanding amalan rundingan kadar bagi jangka pendek akibat ketidakstabilan pasaran.

 

"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati kerana laluan tertentu telah menyaksikan kadar tambang berada di bawah paras pra pandemik berikutan pengenalan kapasiti kapal tambahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu melaporkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras sebanyak RM14.3 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) menjadikan PATAMI keseluruhan sebanyak RM27.3 juta bagi 1HFY24.

 

Ia merangkumi hanya 33%/31% daripada anggaran tahun penuh/konsensus disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen penghantaran kargo laut dan logistik kontrak.

 

MIDF Research menjangkakan margin keuntungan Tasco bertambah baik dengan dua gudang baharu yang menawarkan pulangan yang lebih baik daripada kemudahan yang disewa semasa dan kadar cukai berkesan yang lebih rendah melalui elaun cukai pelaburan (ITA).

 

Bagaimanapun berdepan beberapa risiko seperti kelewatan dalam menyerahkan ruang gudang baharu kepada pelanggan dan tekanan inflasi ke atas kos operasi.

 

"Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.60 sesaham," katanya. - DagangNews.com