Permintaan sarung tangan getah dijangka stabil | DagangNews Skip to main content

Permintaan sarung tangan getah dijangka stabil

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Permintaan sarung tangan getah dijangka kekal stabil meskipun harga purata jualan (ASP) jatuh memandangkan tiada keperluan bagi pengeluaran secara mendadak selepas pandemik COVID-19. 

Bagaimanapun, dengan meningkatnya kesedaran terhadap penjagaan kesihatan dan penggunaan lebih meluas yang bukan tertumpu kepada sektor penjagaan kesihatan sahaja, akan terus menyokong harga sarung getah pada masa hadapan.
 
Penganalisis AmInvestment Bank, Thong Pak Leng berkata, ASP bagi sarung tangan getah kekal stabil pada tahap yang lebih tinggi berbanding prapandemik berikutan penggunaannya yang lebih meluas. 

"Kemungkinan tiada lagi lebihan bekalan selepas pandemik (seperti yang dinyatakan Top Glove dalam sesi webinar) tetapi terdapat isu utama yang perlu ditangani bagi meningkatkan penawaran. 

"Ini termasuklah ketersediaan kontraktor untuk membangunkan pengeluaran, kekurangan tenaga kerja asing dan kekangan bahan mentah nitril," katanya dalam nota kajian hari ini. 

Top Gloves telah memperuntukkan 30% daripada kapasiti untuk tempahan mengejut dan bagi sarung tangan nitril, ia telah habis dijual bagi tempoh tiga bulan akan datang. 

Dalam masa sama, Pak Leng berkata, tempahan bagi sarung tangan bebas serbuk getah asli juga meningkat disebabkan masa yang lama untuk mendapatkan sarung tangah getah nitril. 

Setakat ini, Top Glove mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 90 bilion keping setahun. 

Syarikat itu memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM10 bilion dalam tempoh 10 tahun bagi meningkatkan kapasitinya dua kali ganda menjelang 2025. 

"Ini akan dilakukan secara berperingkat yang mana 14 bilion keping akan ditambah pada tahun kewangan 2021 dan 16 bilion keping untuk tahun kewangan 2022," katanya.  

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Top Glove dengan nilai saksama serendah RM7.88, memandangkan asas kumpulan itu yang kukuh untuk beberapa tahun akan datang. 

ASP sarung tangan getah pula dianggarkan pada AS$60 untuk 1,000 keping bagi tahun kewangan 2021, AS$35 untuk 1,000 keping (tahun 2022) dan AS$28 untuk 1,000 keping (tahun 2023) denan kadar penggunaan purata lebih daripada 80%. - DagangNews.com