KUALA LUMPUR 5 Julai - Peningkatan permintaan dalam sektor hartanah akan terus dipacu oleh perkembangan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan pusat data.
RHB Investment menjangkakan jualan hartanah pada separuh kedua tahun ini melonjak dengan pemaju hartanah meningkatkan pelancaran mereka pada pertengahan tahun.
Katanya, permintaan untuk rumah bertanah di kawasan perbandaran baharu dan kediaman bertingkat tinggi di lokasi strategik kekal menggalakkan selain pengambilan kukuh bagi kediaman bertanah dan kondominium mewah dengan ruang lantai besar.
"Kami berpendapat kitaran pelaburan pusat data masih di peringkat awal dan menjangkakan lebih banyak penjualan tanah akan berlaku.
"Pemaju dengan kunci kira-kira yang kukuh mungkin mula melihat daya maju pelaburan hartanah berkaitan pusat data dan syarikat seperti Sime Darby Property Bhd dan Mah Sing Group Bhd boleh mengembangkan lagi pelaburan mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, aliran berita positif mengenai insentif serta inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pembangunan infrastruktur serta pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik dijangka menggalakkan sentimen pelabur terhadap sektor hartanah pada separuh kedua tahun ini.
Katanya, kehadiran pengunjung ke galeri jualan Iskandar Malaysia mencatatkan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun lalu.
RHB Investment berkata, sektor hartanah ketika ini sedang mendapat momentum jualan yang positif.
"Kehadiran pengunjung ke galeri jualan Sunway Iskandar mencatatkan peningkatan ketara dan pasukan pemasaran kini melihat semakin banyak pembelian daripada pembeli asing terutamanya pada hujung minggu.
"Kami berpendapat pemodenan dan perindustrian yang lebih besar di Iskandar Malaysia daripada ekonomi JS-SEZ akan meningkatkan permintaan untuk hartanah di Johor," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com