Permohonan baharu STR dibuka sepanjang tahun mulai bulan ini - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Permohonan baharu STR dibuka sepanjang tahun mulai bulan ini - PM Anwar

KUALA LUMPUR 3 Nov - Permohonan baharu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan dibuka sepanjang tahun mulai bulan ini sebagai salah satu penambahbaikan pemberian tunai itu.

 

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat dasar di Dewan Rakyat.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, permohonan baharu itu boleh dilakukan sepanjang tahun berbanding hanya sekali setahun sebelum ini.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun memaklumkan, bayaran STR Fasa 4 pula akan disalurkan kepada penerima pada 7 November ini.

 

“Seramai 5.2 juta penerima akan mendapat STR antara RM100 hingga RM1,200 manakala permohonan rayuan yang diluluskan akan menerima anara RM100 hingga RM2,500 secara sekali gus.

 

“Nilai keseluruhan STR Fasa 4 bernilai RM2.1 bilion,” katanya.

 

BACA JUGA: Bayaran akhir STR berjumlah RM2.1 bilion dibayar secara berperingkat mulai 7 November ini - PM Anwar

 

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, penyasaran semula subsidi dilaksanakan untuk menutup ketirisan dan memastikan bantuan diberi kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

 

Justeru, beliau berkata, kerajaan komited untuk menyalurkan penjimatan daripada penyasaran subsidi dengan menambah peruntukan bantuan tunai kepada rakyat bagi meringankan beban kos sara hidup.

 

Bagi tahun hadapan, Anwar memaklumkan peruntukan STR ditingkatkan daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

 

“Kadar maksimum STR ditingkatkan daripada RM3,100 kepada RM3,700.

 

“Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang merupakan sebahagian STR pula diperluas daripada isi rumah miskin tegar kepada merangkumi golongan miskin.

 

“Kadar SARA ditingkatkan daripada RM600 kepada RM1,200 dengan bilangan penerima manfaat meningkat daripada 200,000 penerima kepada sekitar 700,000 penerima,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata, mekanisme SARA akan digunakan sebagai pendekatan baharu pemberian semula subsidi secara bersasar.

 

“Dengan pemberian SARA secara bulanan, ini dapat memastikan golongan miskin mendapat bekalan barangan makanan asas yang mencukupi,” katanya. - DagangNews.com