KUALA LUMPUR 2 Nov - Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kali ketiga berturut-turut sebanyak 25 mata asas yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 8 September 2022 membuatkan permohonan pinjaman menurun pada bulan berkenaan.
RHB Research berkata, kelulusan dalam sistem pinjaman susut 14% pada bulan itu berbanding bulan sebelumnya, sejajar dengan persekitaran monetari yang ketat.
Katanya, penurunan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana kelulusan pinjaman bulanan mencecah rekod tertinggi RM78.7 bilion pada Ogos 2022.
"Kelulusan pinjaman pada September 2022 sebanyak RM67.8 bilion dan masih tinggi berbanding purata sebelum pandemik antara RM30 bilion hingga RM40 bilion, yang mungkin menjadi petunjuk ke arah normalisasi kelulusan pinjaman dalam bulan-bulan akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, permohonan pembiayaan isi rumah termasuk untuk kenderaan kembali pada paras sederhana kepada 21.2% pada September 2022 berbanding 80.9% pada bulan sebelumnya.
Bagi sektor perniagaan, firma itu berkata, kelulusan pinjaman pada September 2022 juga lebih perlahan iaitu 37.3% berbanding 82.3% pada bulan sebelumnya, dengan sektor isi rumah mencatat pertumbuhan perlahan 35.7% dan perniagaan sebanyak 38.6%.
Difahamkan perkara itu berlaku susulan situasi tekanan inflasi yang menyebabkan pengguna lebih berhati-hati membuat pinjaman baharukesan daripada pertambahan kos pinjaman ekoran kenaikan kadar faedah.
Sementara itu bank pula lebih berhati-hati meluluskan pinjaman kerana keadaan semasa boleh memberi kesan negatif terhadap kualiti asetnya.
"Permohonan pinjaman berada pada paras sederhana disebabkan pertumbuhan lebih perlahan dalam permohonan isi rumah yang telah mengimbangi pertumbuhan kukuh sektor perniagaan iaitu 53.0% pada September 2022 berbanding 25.3% pada bulan terdahulu," katanya.
Sementara itu, CGS-CIMB Research berkata, pertumbuhan pinjaman tahun ke tahun bagi bank di bawah liputannya kembali sederhana kepada 6.4% pada akhir September, daripada 6.8% pada bulan sebelumnya.
Katanya, kelembapan itu disebabkan penurunan mendadak pertumbuhan pinjaman perniagaan kepada 5.2% tahun ke tahun pada bulan dilaporkan.
"Bagaimanapun, pertumbuhan tahun ke tahun kekal mampan kepada 6.6% pada akhir September 2022.
"Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman kami kepada 5.0% hingga 6.0% bagi tahun ini dengan jangkaan kelembapan dalam pertumbuhan pinjaman pada 4QFY22 ekoran kenaikan OPR dan inflasi," katanya. - DagangNews.com