Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum (tiga dari kiri) dan pengurusan kanan syarikat di hadapan kilang pengeluaran sarung tangan Mah Sing di Kapar.
Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Nov - Pendapatan Mah Sing Group Bhd dijangka terjejas ekoran penyusutan harga purata jualan (ASP) bagi sarung tangan getah.
Menurut Maybank IB Research, ASP sarung tangan getah merosot dengan mendadak dan dijangka boleh mencecah pada harga ketika di tahap pra-COVID menjelang pertengahan 2022.
Katanya, menerusi semakan terakhir yang dibuat, ASP sarung tangan getah telah mencecah AS$30 bagi seribu sarung tangan untuk pesanan November 2021, tutun 25% berbanding September.
Selain itu Maybank IB berkata, dengan persaingan sengit dari China, prospek ASP sarung tangan getah kekal mencabar dan perang harga tidak dapat dielakkan.
"Kami menurunkan ramalan pendapatan tahun kewangan 2021 hingga 2023 -19% kepada -49% untuk mengambil kira andaian ASP yang lebih rendah iaitu -23% kepada -40%," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Tambah bank pelaburan itu, sebagai pemain baharu dalam industri sarung tangan, Mah Sing tidak menikmati banyak skala ekonomi berbanding pemain 'veteran' yang lain.
Selain itu Maybank IB berkata, ,pihaknya mengesyaki Mah Sing telah membayar harga premium bagi kakitangan dan kerja pemasangan untuk menyiapkan kilangnya dalam tempoh yang singkat, menjadikannya kurang kompetitif dalam kos.
"Kami memahami bahawa kos purata Mah Sing adalah kira-kira AS$36-40 per ribu helai sarung tangan pada akhir April 2021 tetapi ia sepatutnya lebih rendah sekarang dengan penurunan harga lateks nitril sebanyak12% sejak April.
"Kami menjangkakan perniagaan sarung tangan akan kekal merugikan Mah Sing pada 2021 hingga 2023.
"Kami kini menilai Mah Sing pada RM0.65 untuk menggambarkan prospek ASP yang mencabar untuk perniagaan sarung tangan," katanya. -DagangNews.Com