Perodua tingkatkan sasaran pengeluaran kepada 338,000 unit menjelang akhir tahun ini | DagangNews Skip to main content

Perodua tingkatkan sasaran pengeluaran kepada 338,000 unit menjelang akhir tahun ini

KUALA LUMPUR 7 Nov - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah menaikkan sasaran pengeluarannya kepada 338,000 unit menjelang akhir tahun ini, didorong oleh bekalan komponen yang bertambah baik daripada vendor automotif dan permintaan  bagi model keluarannya yang memberangsangkan.

 

Syarikat kereta kompak itu dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya turut menetapkan sasaran jualan lebih tinggi sebanyak 325,000 unit kenderaan bagi tempoh sama.

 

Pada Januari, Perodua mengumumkan sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 unit, manakala sasaran jualan berjumlah 314,000 kenderaan berdasarkan momentum jualan pada 2021, katanya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pada bulan ini syarikat mencatatkan prestasi pengeluaran dan jualan tertinggi, masing-masing sebanyak 35,111 unit dan 33,836 unit dalam tempoh sebulan.

 

"Peningkatan pengeluaran itu dapat dicapai menerusi sumber tersedia dalam ekosistem automotif semasa, dan perkembangan itu memberi petunjuk kepada potensi pertumbuhan bagi sisi permintaan dan bekalan dalam industri berkenaan," katanya dalam kenyataan sama.

 

Walaupun beberapa isu seperti ketersediaan bekalan cip semikonduktor dalam jangka panjang masih berlaku, Perodua telah mempunyai bekalan mencukupi sekali gus menjangkakan prestasi suku keempat adalah terbaik dalam sejarah, katanya, lapor Bernama.

 

"Jika momentum ini berterusan, industri automotif berpeluang untuk terus berkembang pada 2024 dan akan membantu melonjakkan sentimen pengguna walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi pada tahun depan.

 

"Pada masa ini, fokus kami adalah untuk memaksimumkan potensi syarikat dalam aspek pengeluaran dan jualan bagi membolehkan para pelanggan menerima kenderaan mereka lebih pantas," kata Zainal Abidin. - DagangNews.com