SHAH ALAM 15 Sept. - Astro Malaysia Holdings Berhad mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 4% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM1.09 bilion manakala Pendapatan positif sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turut naik 13% kepada RM372 juta.
Syarikat TV satelit itu juga mencatat kenaikan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) sebanyak 81% bagi tempoh sama kepada RM134 juta dengan PATAMI Dinormalisasi* meningkat 13% kepada RM121 juta.
Astro juga akan membayar dividen yang lebih tinggi pada kadar 1.5 sen sesaham (Q1FY21: 1 sen sesaham), sementara Hasil Purata Setiap Pelanggan (ARPU) untuk Perkhidmatan TV-Berbayar (‘Pay-TV’) kekal sederhana sebanyak RM98, terutamanya oleh kerana rebat ‘one-off’ yang diberikan untuk Pek Sukan.
Segmen Go Shop pula mencatatkan rekod pendapatan suku tahunan yang begitu memberansangkan iaitu meningkat 52% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM145 juta.
Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, menerusi aktiviti ekonomi yang kini kembali bermula secara beransur-ansur, Astro dapat melihat tanda-tanda pemulihan yang cukup positif di suku kedua tahun ini.
Menurutnya, penyata imbangan kewangan Astro kekal kukuh di mana ia berterusan menjana pendapatan tunai, mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat.
"Namun begitu, perbelanjaan syarikat tetap dilaksanakan secara berhemat memandangkan ketidaktentuan yang tercetus dari pandemik ini. Walaupun demikian, pihak Lembaga Pengarah masih berbesar hati mengumumkan pembayaran dividen yang lebih tinggi pada kadar 1.5 sen sesaham untuk suku tahun kedua; Q2FY21 (untuk makluman, pembayaran dividen Q1FY21 adalah sebanyak 1 sen sesaham),” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, memainkan peranan sebagai rakyat korporat yang bertanggungjawab, Astro bertindak pantas dan proaktif di tengah-tengah persekitaran operasi yang mencabar, demi memastikan setiap pelanggan khususnya dan rakyat di negara ini amnya menerima perkhidmatan terbaik secara berterusan.
"Pada masa yang sama, kami juga memastikan kebajikan dan keselamatan pekerja sentiasa terjaga dan dilindungi. Kami mengambil langkah untuk menangguhkan beberapa inisiatif utama termasuklah aktiviti ‘upselling’, pemasangan dan pembikinan produksi rancangan realiti / program siaran langsung.
"Go Shop juga melebarkan cabang perniagaannya apabila menawarkan produkproduk segar dan beku yang mana telah merekodkan prestasi yang memberansangkan. Keputusan kewangan suku tahun kedua ini juga mengambil kira sepenuhnya rebat ‘one-off’ Pek Sukan yang ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan setia segmen Sukan.
"Kami percaya pendekatan tersebut merupakan langkah terbaik yang perlu diambil – termasuklah dengan menyediakan akses kepada sajian kandungan terhebat dan mengimbangi atau memberi pampasan oleh kerana ketiadaan program / acara sukan secara langsung,” ujarnya.
“Operasi syarikat kini hampir berada di kapasiti penuh. Perkhidmatan pemasangan kembali dilaksanakan dan kami lihat, Astro Ultra Box berjaya meneruskan trajektori pertumbuhannya dengan lebih dari 100 ribu kotak pemasangan dibuat; meningkat 60% dalam masa lebih dari tiga bulan. Trend pembayaran pelanggan juga amat menggalakkan, serta produksi program-program tempatan dan acara sukan di peringkat global kini kembali bersiaran secara langsung dan penganjuran aktiviti lapangan atau ‘on-ground’ juga mula dilaksanakan,” katanya.
Menurut Tan, melihat kepada situasi ketidaktentuan yang berlaku di saat negara melawan pandemik ini, serta perubahan struktur dalam industri media dan tindakan cetak rompak yang masih lagi berlangsung, Astro kekal berjaga-jaga dalam merealisasikan sebarangan perancangan di separuh kedua tahun ini.
"Kami sedar akan impak-impak yang berpotensi untuk berlaku ke atas pendapatan-boleh-guna pelanggan (‘disposable income’), terutamanya setelah mengambil kira sentimen moratorium yang akan berakhir tidak lama lagi. Kami akan terus membantu para pelanggan komersial terutamanya, yang masih lagi terkesan dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini,” katanya. - DagangNews.com