Perolehan Hong Seng naik 3 ganda kepada RM75.86 juta | DagangNews Skip to main content

Perolehan Hong Seng naik 3 ganda kepada RM75.86 juta

Perolehan sesaham juga meningkat kepada 1.62 sen pada Q1FY22.

KUALA LUMPUR 25 Feb – Hong Seng Consolidated Berhad mencatatkan peningkatan 3 kali ganda dari segi perolehan kepada RM75.86 juta pada suku pertama berakhir 31 Disember 2021 (Q1FY2021) daripada RM25.29 juta pada tempoh sama tahun 2020, disumbangkan terutamanya oleh segmen penjagaan kesihatan dan sarung tangan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, keuntungan selepas cukai (PAT) yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat melonjak lebih 10 kali ganda kepada RM41.38 juta berbanding RM3.04 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Perolehan sesaham juga meningkat kepada 1.62 sen pada Q1FY22 (tempoh kewangan 3 bulan berakhir 31 Disember 2021), berbanding 0.59 sen pada tempoh kewangan 3 bulan berakhir 31 Disember 2020.

 

Keputusan cemerlang itu didorong terutamanya oleh peningkatan pendapatan dan keuntungan daripada segmen penjagaan kesihatan serta perniagaan pembuatan sarung tangan sejak memulakan pengeluarannya pada Oktober 2021.

 

Pengarah Urusan Hong Seng Group, Dato’ Seri Teoh Hai Hin berkata, langkah pengembangan agresif Hong Seng ke dalam perniagaan baharu telah mula membuahkan hasil apabila Kumpulan secara konsisten mencatatkan keputusan kewangan yang positif pada suku kebelakangan ini.

 

Walaupun persekitaran ekonomi kekal mencabar di tengah-tengah pandemik COVID-19, syarikat dijangka mampu kekal berdaya tahan dalam mengharungi tempoh ini dan akan terus berusaha untuk mencatat prestasi yang lebih baik dalam suku kewangan akan datang.


 

Dato’ Seri Teoh Hai Hin
                                    Dato’ Seri Teoh Hai Hin

 


Kumpulan telah melaksanakan langkah pengembangan yang agresif dengan mendokong empat pemacu pertumbuhan utama iaitu Penjagaan Kesihatan, Pembuatan Sarung Tangan, Lateks Nitrile Butadiene (NBL) dan Perkhidmatan Logistik Bersepadu, sekali gus dijangka mengubah Hong Seng menjadi sebuah konglomerat dengan pelbagai segmen perniagaan yang mana semuanya berpotensi besar sama ada di dalam dan luar negara.

 

Anak syarikat milik penuh Kumpulan, Hong Seng Gloves Sdn Bhd telah memulakan operasi barisan pengeluaran berganda celupan sarung tangan Nitrile Butadiene Rubber (“NBR”) di Sungai Petani, Kedah sejak Oktober 2021 daripada hanya 2 barisan pada mulanya dan akhirnya sudah meningkat kepada 4 barisan setakat ini.

 

Sementara itu, HS Gloves menjangka dapat memulakan pengeluaran barisan kelima dan keenamnya menjelang Mac 2022 sementara menunggu penambahan bekalan kuasa selesai. Seterusnya, Kumpulan merancang untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran sehingga 16 barisan pengeluaran menjelang akhir 2022. – DagangNews.com