Perolehan kontrak baharu, kedudukan Kelington kukuh - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Perolehan kontrak baharu, kedudukan Kelington kukuh - Kenanga

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Perolehan kontrak baharu Kelington Group Bhd akan terus memperkukuhkan kedudukan kumpulan untuk merebut peluang luas dalam fabrikasi wafer berbanding pesaingnya yang lain, menurut Kenanga Research. 

 

Semalam, syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan ini memperoleh kontrak bernilai RM45 juta bagi menjalankan kerja-kerja Ultra High Purity (UHP) untuk kilang fabrikasi semikonduktor GlobalFoundries Inc. di Singapura.

 

Kontrak itu akan dilaksanakan dengan segera dan dijangka siap pada Julai 2022.

 

Penganalisis Kenanga Research, Samuel Tan berkata, dengan perolehan kontrak baharu itu, Kelington telah memperoleh RM264 juta kontrak tahun ini, menjadikan nilai projek sedia ada kumpulan meningkat kepada RM523 juta.

 

"Kami percaya ini merupakan permulaan kepada lebih banyak pengembangan fabrikasi akan datang, menandakan lebih banyak projek dalam perancangan bagi Kelington," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' bagi saham Kelington dengan harga sasaran RM1.50.

 

Ia juga mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 masing-masing kepada RM31.1 juta dan RM35.6 juta, yang mewakili pertumbuhan 78% dan 14%.

 

Samuel berkata, pemain industri fabrikasi wafer yang besar seperti TSMC dan SMIC telah memulakan perancangan perbelanjaan modal (capex) awal tahun ini manakala pemain bersaiz sederhana pula mula baru melaksanakan pelan capex mereka dan tidak lagi boleh bertahan memandangkan jurang antara permintaan semakin meningkat dengan kapasiti pula terus melebar.

 

"Ini menunjukkan yang kita boleh menjangkakan lebih banyak pengembangan fabrikasi wafer pada masa akan datang.

 

"Sehubungan itu, Kelington berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih manfaat menerusi lebih banyak kontrak UHP, sejajar dengan matlamat kumpulan untuk mencapai satu lagi tahun bagi perolehan kontrak," tambahnya.

 

Menurutnya, meskipun beroperasi dengan kapasiti 60% tenaga kerja ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan, Kelington dijangka merekodkan prestasi kewangan yang kukuh bagi suku kedua 2021.

 

"Prestasi ini didorong kontrak UHP di China yang berjalan lancar dan diharapkan dapat mengimbangi kesan sekatan pergerakan di Malaysia. Operasi di China menyumbang kira-kira 48% kepada nilai projek kumpulan," katanya.

 

Kenanga Research juga mendapati nilai tender kumpulan melonjak 50% kepada RM1.5 bilion, berbanding RM1 bilion seperti kebiasaaan yang dilaporkan kumpulan, dipacu oleh permintaan kukuh bagi semikonduktor.

 

Setakat 11.46 pagi ini, saham Kelington menokok 1 sen ata 0.83% kepada RM1.21 dengan 598,600 saham diniagakan. - DagangNews.com