KUALA LUMPUR 25 Feb – Pengeluar upholsteri kulit automotif Pecca Group Berhad melaporkan pendapatan suku tahunan tertinggi sepanjang masa pada suku kedua berakhir 31 Disember 2021 (2Q22), didorong oleh jualan yang lebih kukuh daripada segmen automotif yang mana pelanggannya termasuk Proton, Perodua, Nissan, Toyota, Peugeot dan Volkswagen.
Pecca yakin bahawa tempoh terbaik bakal tiba susulan jangkaan jualan oleh pengeluar kenderaan utama yang lebih tinggi pada 2022, sekali gus mewujudkan permintaan yang lebih tinggi untuk produk Kumpulan selaku peneraju pasaran.
Pecca mencatatkan pendapatan sebanyak RM45.2 juta pada 2Q22, mewakili peningkatan sebanyak 15% tahun ke tahun daripada RM39.5 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Pencapaian memberangsangkan itu diraih apabila hampir semua pasaran Pecca dari segi geografi - iaitu Malaysia, Eropah, Oceania dan Amerika Utara – mencatatkan pertumbuhan hasil yang menggalakkan.
Pada suku dalam tinjauan, perniagaan upholsteri kulit dan penjagaan kesihatan Kumpulan masing-masing menyumbang kira-kira 79% dan 11% daripada keseluruhan pendapatan.
Segmen tempat duduk kereta kulit Pengeluar Peralatan Asal (OEM) menyumbang kira-kira 82% daripada jumlah pendapatan penutup tempat duduk kereta kulit manakala Pengilang Peralatan Gantian (REM) dan Pemeriksaan Pra-Penghantaran (PDI) masing-masing menyumbang kira-kira 7% dan 11 %.
Sementara itu, pendapatan yang dijana daripada perniagaan Penjagaan Kesihatan secara relatifnya konsisten pada RM4.81 juta berbanding RM4.84 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Perolehan segmen Penerbangan pula meningkat sebanyak 24.8% tahun ke tahun kepada RM151,000 berbanding RM121,000 setahun sebelumnya.
Pecca melaporkan keuntungan bersih RM6.0 juta pada 2Q22 berbanding RM6.05 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Penyusutan sedikit keuntungan bersih sebanyak 0.82% berikutan terutamanya oleh peningkatan dalam kos logistik dan penghantaran untuk segmen automotif.
Namun begitu, Kumpulan meneruskan momentum margin keuntungan bersih dua angka pada suku kedua, dengan margin yang baik sebanyak 13.3%.
Pengarah Urusannya, Datuk Teoh Hwa Cheng berkata, syarikat berharap 2022 menjadi tahun yang lebih kukuh susulan pengeluar kereta meningkatkan pengeluaran mereka di tengah-tengah permintaan tinggi yang sebahagiannya dirangsang oleh insentif pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang sehingga 30 Jun 2022.
Pecca bukan sahaja akan mendapat manfaat daripada permintaan yang lebih kukuh untuk upholsteri kulit kenderaan, tetapi juga daripada permintaan yang tinggi untuk pelitup muka kerana kes COVID-19 yang terus meningkat.
Bahagian Penjagaan Kesihatan mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan sehingga 30 juta unit pelitup muka setiap bulan, termasuk model pelitup jenis respirator yang lebih canggih seperti KF94, KN95 dan N95 duckbill.
Bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2022 (“1HFY22”), Pecca mencatatkan pendapatan sebanyak RM67.99 juta berbanding RM72.61 juta pada tahun sebelumnya. Segmen Automotif menyumbang RM56.41 juta, manakala segmen Penjagaan Kesihatan dan Penerbangan masing-masing menghasilkan RM11.30 juta dan RM0.28 juta.
Keuntungan bersih bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM6.51 juta, berbanding RM11.15 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. Asas kumpulan terjejas oleh prestasi yang lebih lemah pada suku pertama berikutan sekatan perjalanan secara keseluruhan yang dilaksanakan kerajaan dari Jun hingga pertengahan Ogos 2021, yang man menyebabkan bahagian upholsteri kulit ditutup buat sementara waktu.
Mesyuarat Agung Luar Biasa Pecca hari ini meluluskan terbitan bonus iaitu sehingga 564 juta saham biasa baharu (Saham Bonus) Pecca akan diterbitkan berasaskan 3 Saham Bonus bagi setiap 1 saham Pecca sedia ada yang dipegang oleh para pemegang sahamnya. – DagangNews.com