KUALA LUMPUR 19 Mei - Firma penyelidikan meningkatkan unjuran kerugian bersih Pos Malaysia Berhad yang dilihat sukar meningkatkan prestasi berikutan persaingan sengit.
Kenanga Research menaikkan unjuran kerugian bersih Pos Malaysia Bhd susulan prestasi kewangan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) yang mengecewakan.
Firma itu menaikkan unjuran kerugian bersih syarikat mel negara itu bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23 dan FY24) masing-masing sebanyak 33% dan 24%.
Firma itu turut mengurangkan mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) diturunkan 9% kepada 42 sen daripada 46 sen sebelumnya.
Kenanga Research berhati-hati terhadap Pos Malaysia berikutan perniagaan mel konvensional bergelut untuk cuba kekal relevan dalam era digital.
"Volum kuriernya semakin merosot disebabkan ia perlu menghadapi saingan daripada pemain baharu seperti J&T Express dan Ninja Van yang mengurangkan kadar secara agresif untuk mengembangkan bahagian pasaran mereka.
BACA: Kerugian bersih Pos Malaysia berkurangan kepada RM27.66 juta pada suku pertama
“Langkah penjimatan kosnya tidak mencukupi untuk mengatasi pendapatan perniagaan terasnya yang semakin lemah,” tambah firma itu dalam nota hari ini.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) turut menaikkan unjuran kerugian bersih Pos Malaysia bagi FY23 dan FY24 masing-masing kepada RM88.3 juta dan RM33.3 juta, berbanding RM77.1 juta dan RM10 juta sebelumnya, mencerminkan kos operasi yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan pemulihan dalam FY25 kepada RM9 juta.
HLIB telah menurunkan taraf Pos Malaysia kepada ‘jual’ daripada pegang dengan TP diturunkan kepada 46 sen daripada 56 sen sebelumnya.
Menurut firma itu, berdasarkan unjuran syarikat, pengawal selia berkemungkinan akan mengenakan harga lantai bagi perkhidmatan kurier untuk menyokong kelangsungan perniagaan pemain tempatan dan mengelakkan pemain industri daripada menjatuhkan antara satu sama lain.
Bagaimanapun, katanya, ia menyatakan bahawa tidak ada kejelasan mengenai harga asas pada ketika ini.
"Sekiranya harga asas ditetapkan di bawah kadar semasa Pos Malaysia, kami berpendapat tidak mungkin syarikat itu akan mengalami pemulihan ketara dalam volum bungkusan memandangkan peserta e-dagang yang sensitif pada harga dijangka terus memihak kepada penyedia perkhidmatan dengan kadar paling kompetitif," katanya. -DagangNews.com