Persaingan telco Malaysia lebih terkawal jika Celcom-Digi bergabung | DagangNews Skip to main content

Persaingan telco Malaysia lebih terkawal jika Celcom-Digi bergabung

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Firma penyelidikan, Kenanga Research tidak menafikan persaingan telekomunikasi di dalam negara akan lebih terkawal dalam jangka masa panjang sekiranya penggabungan Celcom dan Digi menjadi kenyataan. 

 

Perkara sama akan berlaku di Indonesia apabila kedua-dua syarikat telekomunikasi di negara itu, CK Hutch dan Ooredoo turut berhasrat untuk bergabung, menurut penganalisis di Kenanga, Lim Khai Xhiang. 

 

“Pihak pengurusan (Axiata Group Berhad) berhasrat untuk meneruskan usaha pengoptimuman kos seperti menerusi pemerolehan sebagai kumpulan (syarikat) dan bukannya entiti individu bagi mencapai harga yang lebih kompetitif untuk merealisasikan sasaran 2024, salah satunya mencapai margin perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) melebihi 20%,” jelas Khai Xhiang dalam satu nota kajian hari ini.

 

Di peringkat perniagaan Axiata, Khai Xhiang menjangkakan pertumbuhan langganan telekomunikasi kumpulan akan berterusan.

 

Namun purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) mungkin mencatatkan kadar yang lebih rendah disebabkan oleh persaingan sengit yang terus meningkat, kata beliau lagi. 

 

Sebagai rekod, Axiata menyaksikan pendapatan kumpulan meningkat 0.5% kepada RM6.06 bilion bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21). 

 

Pendapatan sebelum faedah, pajak, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) Axiata juga mengukuh, melonjak 7.5% dipacu oleh pertumbuhan EBITDA yang disumbangkan Celcom dan Edotco.

 

Susulan itu, Kenanga mengekalkan penarafan ‘outperform’ ke atas saham Axiata dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM4.20. 

 

Senada penarafan berkenaan, CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham Axiata dengan TP kekal pada kadar RM4.20 sesaham. 

 

Firma penyelidikan itu melihat sekiranya penggabungan Celcom dan Digi gagal selain persaingan yang lebih sengit di pasaran operasi Axiata, ini akan mendatangkan risiko buat penarafan saham kumpulan. 

 

“Walaupun perolehan sesaham (EPS) 1Q21 melebihi sasaran, namun kami mengekalkan unjuran buat masa ini, memandangkan perolehan cenderung tidak menentu dari suku tahun ke suku tahun lain. 

 

“Kami menjangkakan EPS utama akan melonjak sebanyak 11.8%, 28.9% dan 8.7%, masing-masing bagi FY21, FY22 dan FY23 dipacu oleh pertumbuhan XL, Celcom, Dialog dan Robi,” tambah firma penyelidikan itu.

 

Sementara itu, MIDF Research turut mengekalkan unjuran perolehan Axiata buat masa ini memandangkan prestasi kewangan 1QFY21 kumpulan sejajar dengan ramalan firma penyelidikan berkenaan. 

 

MIDF menyemak naik saranan ke atas saham Axiata daripada ‘neutral’ kepada ‘beli dengan TP turut ditingkatkan kepada RM4.05.

 

Bagi firma penyelidikan itu, walaupun pandemik COVID-19 dijangka menjejaskan pelbagai operasi Axiata, namun perolehan kumpulan kekal stabil. 

 

Mengambil kira faktor pengedaran vaksin COVID-19 dan cadangan penggabungan Celcom dan Digi, MIDF meramalkan pertumbuhan perolehan Axiata pada masa akan datang terus stabil, disokong oleh hasil dan EBITDA yang berkembang. - DagangNews.com