Persatuan Peruncit Bumiputera hargai keputusan kerajaan buka AP kepada pasar raya besar | DagangNews Skip to main content

Persatuan Peruncit Bumiputera hargai keputusan kerajaan buka AP kepada pasar raya besar

Datuk Wira Ameer Ali Mydin

KUALA LUMPUR 2 Feb - Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) menyambut baik keputusan Kerajaan melalui Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Khas Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 31 Januari 2022 yang terus komited menyelesaikan isu bekalan dan pengeluaran makananan terutamanya bagi ayam dan telur ayam.

 

Presidennya, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, pihak persatuan juga turut menzahirkan ucapan penghargaan di atas keputusan Kerajaan yang membuka permit import ayam kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) dan juga pembukaan AP kepada pengusaha-pengusaha pasar raya besar (hypermarket).

 

Beliau yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd berkata, kerajaan yang prihatin rakyat juga, telah menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard juga dikurangkan sebanyak 20 sen yang menjadikan harga siling ayam pada RM8.90.

 

''Bagi memastikan penternak-penternak ayam tempatan kekal berdaya saing, BRO mengharapkan Kerajaan akan terus memastikan langkah intervensi atau pemberian subsidi yang saksama kepada mereka dapat dimuktamadkan segera,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Ameer berkata, kesungguhan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ini jelas menyatakan keseriusan beliau menangani isu kenaikan harga barangan yang berlaku sedang di peringkat global.

 

''Pihak Persatuan menyatakan komitmen dan usaha bagi memastikan aspirasi Kerajaan bagi memastikan kawalan harga barangan dapat dicapai,'' ujarnya.

 

Justeru itu, rakyat dan peniaga akan dapat manfaat seiring dengan keputusan yang telah dibuat tersebut. - DagangNews.com