KUALA LUMPUR 23 Sept. - Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) meneruskan penganjuran persidangan tahunan utamanya iaitu E-Nation yang memberi fokus kepada pembangunan ekonomi negara selepas penularan wabak COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar berkata, penganjuran tersebut turut disokong dengan tiga tonggak perbincangan yang disesuaikan dengan kesan wabak.
"COVID-19 mendesak kita untuk melakukan inovasi dan penciptaan peluang dalam mengubah landskap negara untuk kembali bangkit dan membangunkan ketahanan ekonomi melalui inovasi dan kreativiti.
"E-Nation dianjurkan dengan tema 'Memajukan Ekonomi yang Berdaya Tahan' selain disokong oleh tiga tonggak perbincangan iaitu merangkul perubahan, mengaktifkan teknologi dan memperkasakan masyarakat," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
E-Nation 2020 bakal menghimpunkan 1,000 peserta dari seluruh ekosistem ekonomi seperti usahawan, pereka baharu, pelabur, penggubal dasar, pemimpin industri dan lain-lain lagi.
Lebih menarik, E-Nation 2020 turut menampilkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebagai penceramah dalam persidangan tersebut.
Selain itu, bekas Perdana Menteri Korea Selatan, Dr. Un-Chan Chung, bekas Perdana Menteri Selandia, Helen Clark dan lain-lain adalah antara 65 penceramah yang turut tersenarai dalam E-Nation 2020.
Persidangan tersebut akan dianjurkan dalam platform hibrid iaitu secara maya dan fizikal yang bertempat di kampus MaGIC di Cyberjaya.
"Kita perlu membuat perubahan untuk memastikan pertumbuhan dan kelestarian dalam perniagaan negara. Dengan penerapan teknologi baharu seperti Artificial Intelligence atau Robotics, ia akan dapat meningkatkan tahap rekaan negara dan mengubah masa hadapan kita.
"Kita juga ingin memiliki penjajaran yang kuat dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB untuk menutup jurang sosio-ekonomi sekali gus mendorong Do Good Solutions," jelasnya lagi. - DagangNews.com