Ar. Ezumi Harzani Ismail
KUALA LUMPUR 7 Nov. – Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) berharap agar pihak kerajaan berurusan dengan telus dalam proses perolehan projek, dan memberikan keutamaan kepada para profesional dan kontraktor Malaysia untuk dilantik dalam projek-projek memulihkan ekonomi negara.
Presiden PAM, Datuk Ar. Ezumi Harzani Ismail berkata, walaupun negara berada dalam situasi ekonomi yang mendesak, langkah kerajaan untuk melaksanakan program koridor ekonomi termasuk projek infrastruktur pengangkutan, perkhidmatan lebuh raya dan rel sangat dialu-alukan.
Beliau berkata, peruntukan RM100 juta untuk mewujudkan peluang pekerjaan baru dan pemberian geran GLC diharapkan bukan hanya untuk mewujudkan peluang pekerjaan baru bagi rakyat.
"Tetapi juga akan digunakan untuk peningkatan kemahiran dan pengisian semula para belia dan pekerja tempatan untuk membuka peluang pekerjaan yang lebih baik dan menjadi lebih produktif di dalam pekerjaan dan perniagaan mereka.
"Insentif khas 60% daripada gaji bulanan yang disediakan untuk pengambilan pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing juga akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ezumi berkata, skim transformasi digital yang dicadangkan juga akan membantu memajukan lagi perniagaan. Transformasi digital melalui Building Information Modeling (BIM) akan membawa industri pembinaan maju jauh ke depan. Bagaimanapun, usaha itu setakat ini tidak mencapai peningkatan yang ketara.
"PAM berharap peruntukan tersebut akan digunakan bukan hanya untuk pembelian komputer dan sistem, tetapi juga untuk membangunkan strategi perlaksanaan BIM secara tersusun yang lebih fokus bagi melahirkan peneraju transformasi digital," kata beliau.
Menurutnya, PAM juga menyifatkan Belanjawan 2021 adalah belanjawan rakyat yang disusun untuk kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan sosial bagi membantu negara kembali kepada pertumbuhan ekonomi yang positif.
"Di bawah keadaan wabak COVID-19, adalah penting untuk seluruh lapisan rakyat sama-sama menangani masalah sosial dan kehidupan masyarakat termasuk menyediakan peruntukan untuk makanan dan bekalan, sistem penjagaan kesihatan awam dan peluang pendidikan,'' ujarnya.
Katanya, PAM mengalu-alukan peruntukan kerajaan dalam usaha pemulihan dan perlindungan alam sekitar, dengan lebih dari RM500 juta diperuntukkan untuk pembersihan sungai, pengurusan sampah, perlindungan ‘bio-diversity’ dan pemantauan alam sekitar.
"Kami juga berharap penguatkuasaan undang-undang dapat ditingkatkan dalam melindungi alam sekitar untuk melindungi sumber alam termasuk sumber air bersih.
"Peruntukan tambahan RM2 bilion untuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau juga diharap dapat membantu menyumbangkan kepada agenda pemulihan alam sekitar," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, peruntukan insentif-insentif pemilikan rumah mampu milik juga diharapkan dapat meningkatkan permintaan rumah. Ini akan merangsang industri pembinaan dan memacu aktiviti lain yang berkaitan dalam rantaian bekalan.
"Peruntukan pembangunan luar bandar juga akan membantu meningkatkan industri pembinaan dengan peruntukan sebanyak RM2.7 bilion untuk pembangunan infrastruktur dan pembaikan rumah di kawasan luar bandar," katanya. - DagangNews.com