KUALA LUMPUR 18 Mac - Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin harga global komoditi yang menggalakkan dan pertumbuhan kukuh dalam sektor itu akan membantu mempercepatkan Pelan Pemulihan Nasional (PPN).
Sebagai contoh, hasil eksport minyak sawit bagi 2022 dijangka meningkat 11.8% kepada RM72.25 bilion daripada RM64.62 bilion yang dicatatkan pada 2021.
Sementara itu, eksport kayu dan produk kayu dijangka berjumlah RM24 bilion atau meningkat 5.52% berbanding 2021 (nilai RM22.74 bilion).
Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pemilik ladang daripada konglomerat tersenarai kepada pekebun kecil, serta pemain industri lain semuanya berpeluang mendapat keuntungan daripada peningkatan hasil.
Beliau berkata, ia diterjemahkan kepada keuntungan yang lebih tinggi dan membantu kerajaan meningkatkan hasil cukainya.
"Peningkatan hasil cukai membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak projek sosio-ekonomi dalam semangat Keluarga Malaysia. Ini termasuk membina sekolah, hospital, jalan raya dan menyampaikan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zuraida berkata, berdasarkan unjuran purata harga minyak sawit mentah bagi 2022 sebanyak RM4,250 setan dan unjuran pengeluaran minyak sawit mentah bagi 2022 sebanyak 19.0 juta tan, adalah dianggarkan jumlah kutipan cukai keuntungan pada 2022 akan melebihi RM1 bilion.
Beliau berkata, industri minyak sawit juga dianggarkan menjana hasil cukai bernilai RM2 bilion lagi daripada cukai eksport pada 2022.
"Perkembangan ini tepat pada masanya memandangkan kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit sejak dua tahun lalu untuk membantu rakyat Malaysia berikutan krisis berkembar pandemik COVID-19 serta kemerosotan ekonomi. KPPK gembira kerana ia dapat membantu usaha kerajaan dalam masa yang sukar ini.
"Bagi pihaknya, KPPK akan meningkatkan usaha untuk membantu pemain industri di bawah bidang kuasanya merebut peluang ekonomi ini, termasuk membuka lebih banyak pasaran untuk komoditi kami," katanya.
Beliau berkata, sejak dua bulan lalu, beliau telah mengetuai misi perdagangan yang meluas di luar negara untuk membuka pasaran bagi komoditi.
"Negara-negara seperti Iran, Turki, India dan China telah menyatakan minat untuk meningkatkan import komoditi kita. Beberapa negara telah meningkatkan pembelian mereka untuk produk ini, sementara yang lain sedang dalam proses memuktamadkan perjanjian perdagangan.
"Sebagai contoh China dijangka mengimport tambahan 500,000 tan minyak sawit dari Malaysia pada 2022. India dijangka menjadi destinasi pasaran utama negara untuk minyak sawit Malaysia, dengan tambahan import sebanyak dua juta tan tahun ini," katanya.
Beliau berkata, India dijangka menghadapi kekurangan minyak yang boleh dimakan (edible oil) kerana bergantung kepada minyak bunga matahari dari Ukraine dan perubahan kepada dasar eksport kelapa sawit Indonesia.
"Minyak sawit Malaysia akan membantu mengisi kekosongan ini di India. KPPK juga akan membantu pemain industri, terutamanya pekebun kecil untuk menjadikan perniagaan mereka lebih mampan pada masa hadapan.
"Ini termasuk usaha untuk mengautomasikan perniagaan mereka, meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan mengurangkan pergantungan kepada buruh asing. Ini boleh dilakukan dengan strategi pelaburan semula yang betul berikutan peningkatan perolehan mereka.
"Sebagai contoh, skim pembiayaan mudah tanam semula pekebun kecil bertujuan menyediakan pembiayaan mudah kepada pekebun kecil untuk menanam semula kelapa sawit yang tidak produktif. Ia menawarkan kadar faedah rendah 2% dan tempoh
moratorium selama 48 bulan," katanya.
Katanya, terdapat juga skim pembiayaan mudah bagi input pertanian (agricultural inputs) untuk pekebun kecil kelapa sawit dengan kadar keuntungan serendah 2% yang bertujuan membantu pekebun kecil membeli input pertanian seperti baja dan bahan kawalan
rumpai dan perosak.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob yang banyak membantu dan memberikan sokongan kepada KPPK menjalankan tugasnya. KPPK akan memastikan ia tidak akan mengecewakan Perdana Menteri," katanya. - DagangNews.com