KUALA LUMPUR 2 Mac - Pertumbuhan pembiayaan tahun ini dijangka berkembang sekitar 5 hingga 5.5% sejajar dengan momentum pemulihan ekonomi secara berterusan.
Menurut Kenanga Research, unjuran tersebut dilihat munasabah dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa dan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5.5 hingga 6% pada 2022.
Bagaimanapun, katanya, kemasukan awal 2022 mendorongnya untuk melihat semula sektor perbankan lebih dekat dengan prospeknya pada 2023.
Jelasnya, jika ekonomi terus pulih tanpa gangguan, permintaan untuk pinjaman boleh menjadi eksponen dan pertumbuhannya mungkin mengurangkan sebarang hakisan pendapatan faedah bersih (NIM) daripada persaingan berterusan deposit.
"Malah, kebanyakan bank menjangkakan sekurang-kurangnya 1 kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh kedua 2022 dan ini akan mencerminkan sedikit peningkatan kepada NIM tahunan.
"Kami menjangkakan pendapatan bukan faedah teras (NOII) akan stabil daripada penurunan seluruh industri pada tahun lalu, apabila beroperasi dalam landskap perdagangan dan pelaburan yang lebih normal," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu secara keseluruhan menaikkan penarafan sektor perbankan kepada 'overweight' daripada 'neutral' sebelum ini.
Dalam laporan perkembangan monetari dan kewangan bagi Januari 2022 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kapasiti bank-bank untuk menyerap kerugian kekal kukuh dengan lebihan penampan modal sebanyak RM131.9 bilion.
Baca : BNM : Kapasiti bank serap kerugian kekal kukuh pada Januari 2022
Pada Januari 2022, pertumbuhan pembiayaan bersih mampan pada 4.8% apabila pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat (4.7%; Disember: 4.5%) dalam keadaan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang menurun sedikit (5.0; Disember: 5.5%).
Pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 4.7% selaras dengan pertumbuhan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi (21.3%; Disember 7.4%) yang mengatasi pertumbuhan bayaran balik pinjaman (6.0%; Disember: 1.2%).
Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul (5.3%; Disember: 5.0%) terus disokong oleh pinjaman modal kerja.
Sementara itu, MIDF Research berkata, pertumbuhan pembiayaan tahun ini yang diunjurkannya pada 5% adalah di tengah-tengah andaian prospek perbelanjaan yang lebih baik dan pertumbuhan ekonomi.
Katanya, ia juga mengambil kira bank-bank yang ingin mengambil peluang daripada lebihan mudah tunai.
"Kami mengharapkan pinjaman perniagaan mengekalkan tahap pertumbuhan yang tinggi, seiring dengan perbelanjaan pengguna untuk meningkatkan pinjaman runcit.
"Oleh itu, kami kekal 'positif' terhadap sektor perbankan berdasarkan pemulihan pembiayaan yang kukuh dan penambahbaikan jangka panjang yang dilaksanakan bank ketika tempoh pandemik," jelasnya. - DagangNews.com