KUALA LUMPUR 28 Feb - Bank-bank terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh bagi menghadapi tekanan yang mungkin berlaku dan terus menyokong aliran kredit dalam ekonomi.
Dalam laporan perkembangan monetari dan kewangan bagi Januari 2022, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, nisbah modal meningkat sedikit pada bulan tersebut kerana mengambil kira keuntungan akhir tahun.
Namun, katanya, ia sebahagiannya diimbangi oleh pelarasan penilaian ke atas instrumen kewangan yang sedia untuk dijual.
"Kapasiti bank-bank untuk menyerap kerugian kekal kukuh dengan lebihan penampan modal sebanyak RM131.9 bilion pada Januari 2022," katanya dalam laporan tersebut hari ini.
Menurut BNM, nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih secara keseluruhan masing-masing secara amnya kekal stabil pada 1.4% dan 0.9%.
Katanya, bank-bank terus menyediakan peruntukan tambahan bagi menghadapi kemungkinan kerugian kredit.
"Jumlah peruntukan pada masa ini berada pada 1.9% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan 130.5% daripada pinjaman terjejas," tambahnya.
Pada Januari 2022, pertumbuhan pembiayaan bersih mampan pada 4.8% apabila pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat (4.7%; Disember: 4.5%) dalam keadaan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang menurun sedikit (5.0; Disember: 5.5%).
Pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 4.7% selaras dengan pertumbuhan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi (21.3%; Disember 7.4%) yang mengatasi pertumbuhan bayaran balik pinjaman (6.0%; Disember: 1.2%).
Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul (5.3%; Disember: 5.0%) terus disokong oleh pinjaman modal kerja.
"Mengikut sektor, pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh sektor perkilangan serta sektor perdagangan borong dan runcit," katanya.
Bank pusat berkata, keadaan pasaran kewangan domestik menjadi ketat pada Januari 2022 apabila kadar hasil MGS meningkat dan pasaran ekuiti domestik merosot.
Hal ini, katanya, didorong terutamanya oleh jangkaan yang lebih kukuh bahawa dasar monetari Amerika Syarikat (AS) akan diperketat pada kadar yang lebih cepat dan seterusnya nilai dolar AS pada amnya bertambah kukuh.
"Pada bulan tersebut, walaupun ringgit menurun nilai sedikit, Malaysia terus mencatatkan portfolio aliran masuk bukan pemastautin ke pasaran ekuiti dan bon.
"Yang penting, walaupun dengan prestasi pasaran kewangan yang lebih lemah, pelarasan pasaran kewangan kekal teratur berikutan mudah tunai perdagangan yang mencukupi," jelasnya.
Dalam pada itu, menurutnya, inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.3% pada Januari 2022 disebabkan terutamanya oleh sumbangan daripada inflasi bahan api dan elektrik yang lebih rendah.
Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, meningkat kepada 1.6% didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan peribadi. - DagangNews.com