Pertumbuhan pendapatan MR DIY terus dipacu pengembangan cawangan, model perniagaan efektif | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pendapatan MR DIY terus dipacu pengembangan cawangan, model perniagaan efektif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - RHB Investment meramalkan pertumbuhan pendapatan MR DIY Group (M) Bhd akan terus dipacu pengembangan cawangannya serta jenama yang kukuh selain model perniagaan yang efektif. 

 

Katanya, penjanaan aliran tunai yang kukuh dan normalisasi inventori serta perbelanjaan modal (capex) dilihat akan mengekalkan nisbah pembayaran dividen yang tinggi melebihi 70%. 

 

"Walaupun pengguna lebih berhati-hati ketika berbelanja disebabkan tekanan inflasi yang semakin meningkat, kumpulan itu berada pada kedudukan baik bagi mendapat manfaat daripada mana-mana penurunan dagangan pengguna memandangkan penawaran produk bernilai serta lokasi yang selesa.

 

"Kami juga melihat MR DIY sebagai proksi utama untuk memanfaatkan perkembangan positif daripada kenaikan gaji penjawat awam dan skim pengeluaran akaun fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MR DIY catat untung bersih RM155.2 juta pada 2QFY24, yakin sentimen pengguna Malaysia meningkat

 

Terdahulu, kumpulan itu melaporkan pendapatan RM1.2 bilion berbanding RM1.1 bilion pada suku perbandingan manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 1.64 sen daripada 1.59 sen pada 2QFY23.

 

Sepanjang tempoh enam bulan terkumpul, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM300.09 juta daripada RM278.09 juta pada 1HFY23, manakala hasil meningkat kepada RM2.34 bilion daripada RM2.15 bilion pada tempoh yang sama pada 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mengumumkan jenama runcit baharu, KKV yang dilihat boleh membantu mengekalkan pertumbuhan pendapatan jangka panjang dan mengembangkan pelangan ke atas ekuiti (ROE), sekali gus bertindak sebagai pemangkin baharu kepada mereka.

 

MR DIY telah memulakan usaha sama ekuiti 49% untuk mengendalikan kedai KKV di Malaysia. 

 

KKV merupakan kedai gaya hidup runcit Cina yang menawarkan pelbagai produk termasuk keperluan rumah, mainan, alat tulis, makanan & minuman, pakaian, dan kategori kecantikan. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.40 sesaham," katanya.- DagangNews.com