Pertumbuhan pendapatan Nestle dijangka terus disokong penggunaan domestik - TA Research | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pendapatan Nestle dijangka terus disokong penggunaan domestik - TA Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Okt - TA Research menjangkakan pertumbuhan pendapatan Nestle (Malaysia) Berhad disokong penggunaan domestik yang kukuh.

 

Bagaimanapun, TA Research kekal berhati-hati terhadap jualan eksport, terutamanya selepas kumpulan itu mencatatkan kesan asas yang tinggi bagi FY22 dan FY23.

 

"Berbalik kepada tahap eksport sebelum pandemik mungkin ia memerlukan garis masa yang lebih lama dan oleh itu trajektori pemulihan yang lebih perlahan dijangka dalam hal ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun terdapat kebimbangan mengenai peningkatan kos input dan kenaikan duti eksais ke atas minuman bergula yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, kumpulan itu mengesakan bahawa mereka tidak akan menaikkan harga produk mereka serta-merta.

 

Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen kumpulan terhadap strategi harga semasa dan kepercayaan terhadap keupayaannya mengurus potensi faktor penyusutan margin melalui langkah-langkah keberkesanan kos yang lain.

 

Kumpulan itu telah meletakkan kedudukannya secara strategik untuk menahan kesan duti eksais minuman manis yang lebih tinggi dengan memastikan kebanyakan produknya mengandungi kurang daripada 5g gula setiap hidangan 100ml, sekali gus meminimumkan kesan kenaikan cukai.

 

Walaupun ketiadaan Cukai Makmur, kumpulan itu dijangka terus bergelut dengan kadar cukai berkesan yang dinaikkan melebihi 30%.

 

Katanya, kadar cukai tinggi yang berterusan ini boleh dikaitkan dengan item cukai tidak boleh ditolak yang ditanggung pada suku ketiga FY23.

 

"Kemerosotan aset berjumlah RM44 juta yang ketara telah diiktiraf pada suku ketiga 2023, khususnya berkaitan dengan peralatan terbiar dan usang tertentu yang berpunca daripada peningkatan pengeluaran kumpulan baru-baru ini. Kerugian ini, malangnya, tidak boleh ditolak cukai.

 

"Di sebalik cabaran itu, syarikat sedang giat melaksanakan strategi mengurangkan kadar cukai berkesannya di bawah 30% menjelang akhir FY23, menunjukkan usaha gigih bagi mengoptimumkan kedudukan cukainya dan meningkatkan prestasi kewangan keseluruhan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM132.60 berbanding RM151.30 sesaham. - DagangNews.com