Perubahan kedudukan KLCI, manfaatkan MR DIY - Firma | DagangNews Skip to main content

Perubahan kedudukan KLCI, manfaatkan MR DIY - Firma

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - MR DIY Group bakal berada dalam kalangan 30 komponen utama FBM KLCI mulai 21 Jun ini, menggantikan Supermax Corp. 

 

FTSE Russell membuat pengumuman itu dalam semakan pertengahan tahunnya setelah mendapati saham MR DIY melonjak tinggi dalam tempoh 6 bulan selepas disenaraikan 26 Oktober lalu. 

 

MR DIY membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 26 Oktober tahun lalu pada harga tawaran RM1.60 sesaham.

 

Sejak penyenaraiannya itu, saham syarikat berkenaan telah melonjak lebih 170% dengan paras tertinggi pernah dicapai ialah pada RM4.38 pada 7 April lalu.

 

Menurut CGS-CIMB, perubahan dalam kalangan saham utama itu menepati unjuran mereka yang dibuat dalam nota kajian bertarikh 24 Mei lalu. 

 

"Kami jangkakan terdapat penyusunan semula oleh pengurus dana berikutan perubahan dalam KLCI ini, melibatkan indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 (FBM70) dan FBM Hijrah Syariah.

 

"Ia akan memanfaatkan MR D.I.Y, Press Metal, D&O Green Technologies, Greatech, UMW Holdings dan Hong Leong Industries, tetapi sebaliknya memberi tekanan jualan kepada Supermax, Datasonic, Ekovest, KLCCP, IOI Properties Group dan Yinson," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam senarai yang diumumkan FTSE Russell itu, Supermax, D&O Green Technologies, Greatech Technology, UMW Holdings dan Hong Leong Industries akan memasuki senarai FBM70 menggantikan MR DIY, Datasonic, Ekovest, KLCC Prop & REITs (KLCCP) dan IOI Properties Group.

 

Bagi indeks FBM Hijrah Syariah pula menyaksikan MR DIY dan Press Metal menyertai kelompok itu menggantikan Supermax dan Yinson.

 

Senarai rizab FTSE Bursa Malaysia KLCI pula terdiri daripada 5 juzuk tertinggi indeks mengikut permodalan pasaran adalah Westports Holdings, QL Resources, Supermax, Kossan Rubber dan Inari Amertron.

 

Senarai rizab itu akan digunakan jika satu atau lebih konstituen dinyahkan daripada FTSE Bursa Malaysia KLCI mengikut peraturan asas indeks dalam tempoh sehingga kajian separuh tahun akan datang

 

CGS-CIMB mengekalkan unjuran akhir tahun KLCI pada 1,709 mata dengan pilihan 3 saham utama adalah Inari, Public Bank dan Telekom Malaysia. - DagangNews.com