Petronas catat kerugian RM21 bilion akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Petronas catat kerugian RM21 bilion akibat COVID-19

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatat kerugian selepas cukai sebanyak RM21 bilion bagi tempoh suku kedua tahunan berakhir 30 Jun (2QFY20) berikutan penurunan besar dari segi permintaan minyak iaitu 22 juta tong sehari pada April, semasa kemuncak pandemik COVID-19.

Kerugian suku tahunan itu juga diburukkan lagi oleh kemerosotan bersih sebanyak RM20.77 bilion, jauh tinggi berbanding hanya RM179 juta setahun yang lalu, disebabkan penurunan harga minyak.

Kerugian ini adalah yang pertama sejak Suku Keempat Tahun Kewangan 2015. Ia juga berbeza dengan keuntungan bersih sebanyak RM14.8 bilion setahun lalu dan RM4.52 bilion pada suku pertama tahun ini.

Perolehan suku tahunan juga jatuh 42.4% kepada RM34.03 bilion berbanding RM59.1 bilion pada @QFY19. Perolehan syarikat minyak negara ini juga menyusut bagi tempoh dua suku tahunan berturut-turut iaitu RM53.5 bilion pada Januari-Mac, berbanding RM64 bilion pada 4QFY19.

Sementara itu, Petronas mencatatkan perolehan sebelum faedah, cukai, penyusutan dan armotisasi (Ebitda) sebanyak RM29.4 bilion pada 2QFY20 berbanding RM54.7 bilion setahun lalu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun (1HFY20), Petronas mencatat kerugian bersih sebanyak RM16.5 bilion berbanding RM28.9 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Perolehan kumulatif jatuh 22.7% kepada RM93.6 bilion daripada RM121.11 bilion pada 1HFY19.

Walaupun rugi, Petronas masih mampu menjana aliran tunai operasi sebanyak RM26.26 bilion pada 1HFY20. Wang tunai Petronas adalah sebanyak RM156.86 bilion setakat 30 Jun.
 

aaa
Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz


Bercakap kepada pemberita semasa sidang media di sini hari ini, Presiden dan CEO Kumpulan Petronas yang baru dilantik, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz mengakui perolehan tahunan syarikat akan terjejas terus akibat COVID-19.

Keadaan serupa turut melanda syarikat-syarikat minyak dan gas lain seperti Exxon Mobil Corp dan Shell.

Muhammad Taufik berkata, permintaan mungkin memulih ke paras sebelum meletusnya pandemik pada separuh kedua tahun depan tetapi prospek kekal tidak menentu.

Menjawab soalan pemberita, beliau berkata, Petronas akan membayar dividen kepada pemegang sahamnya jika ia mampu, ketika syarikat merancang untuk mengekalkan aliran tunai dan kecairan semasa pasaran teruk sekarang.

Apakah Petronas mampu mengisytiharkan dividen kepada kerajaan, beliau berkata, pihaknya akan membuat keputusan berdasarkan prestasi setahun penuh.

"Kerajaan tidak mewajibkan kami membayar dividen setakat ini. Kerajaan maklum mengenai komitmen capex kami, pelaburan dan obligasi kewangan kami," kata beliau.

Tahun lalu, Petronas mengisytiharkan pembayaran dividen sebanyak RM24 bilion. - DagangNews.com

Petro