Petronas Chemicals ‘nikmati’ harga jualan tinggi polimer, MEG | DagangNews Skip to main content

Petronas Chemicals ‘nikmati’ harga jualan tinggi polimer, MEG

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) menerima impak positif daripada harga jualan polimer dan monoetilena glikol (MEG) yang lebih tinggi.

 

Ini disebabkan oleh berlakunya Ribut Salji Uri di Amerika Syarikat (AS), sementara kos suapan stok etana PCG tidak berubah. 

 

“Ini dijangka mendorong kepada prestasi kewangan separuh pertama tahun 2021 (1H21) yang kukuh, ketika inventori AS yang rendah mungkin hanya selesai pada Jun ini,” jelas CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya.

 

Menurut firma penyelidikan itu, harga polimer dan penyebaran berbanding nafta terus meningkat minggu ke minggu (w-o-w) ekoran kekurangan bekalan global selepas Ribut Salji Uri.

 

Malah, penyebaran harga polimer berbanding nafta turut meningkat, kerana kenaikan harga polimer lebih daripada sekadar menutupi peningkatan kos nafta.

 

Momentum peningkatan itu terus berlaku walaupun Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) memutuskan pada 4 Mac lalu, untuk mengekalkan pemotongan pengeluarannya pada bulan April.

 

Sementara itu, CGS-CIMB percaya harga MEG akan kekal mengukuh kerana kecairan inventori di China akan berterusan dengan dengan MEG dialihkan ke AS untuk mengatasi kekurangan selain mennyaksikan arbitraj harga yang menguntungkan

 

Prospek itu juga mungkin dipacu oleh inventori poliester rendah di China kerana permintaan yang tinggi, tambah firma penyelidikan itu.

 

Bagi prospek Lotte Chemical Titan Holding Berhad (LCT) pula, CGS-CIMB percaya syarikat itu akan mencatatkan keuntungan pada suku pertama 2021 (1Q21) yang lebih kukuh. 

 

LCT

 

Ini susulan jangkaan penyebaran harga petrokimia berbanding nafta terus meningkat walaupun minyak dan nafta mencatatkan harga yang lebih tinggi.

 

“Penyebaran MEG-etana akan memberi manfaat kepada kilang LCT di AS,” kata CGS-CIMB.

 

CGS-CIMB masih mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas kedua-dua saham PCG dan LCT.

 

Baca : Untung bersih Petronas Chemicals dijangka naik mendadak tahun ini 

 

Baca : CGS-CIMB ubah saranan saham LCT kepada ‘tambah’

 

Setakat 11.24 pagi, nilai saham PCG menyusut 5 sen kepada RM8.20 dan saham LCT pula menokok 7 sen kepada RM2.54 setakat 11.25 pagi. -  DagangNews.com