Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Mac - Di sebalik lonjakan harga minyak global hingga mencecah AS$70 setong, paras tertinggi sejak 2019, syarikat minyak global dilihat akan terus mengambil langkah berhati-hati dari segi perbelanjaan modal (capex).
Langkah ini diambil terutamanya melibatkan aktiviti syarikat dalam penerokaan dan pengeluaran (E&P) minyak sekurang-kurangnya sehingga akhir separuh pertama tahun ini, menurut penganalisis MIDF Research, Noor Athila Mohd. Razali dalam nota kajian.
Ini memandangkan pemulihan permintaan masih lagi perlahan dan kenaikan harga minyak pula disebabkan gangguan bekalan dan langkah pelarasan pengurangan yang dilaksanakan pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+).
Keadaan ini tidak terkecuali buat syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang mungkin mengambil pendekatan serupa.
Bagi tahun kewangan berakhir 2020, Petronas merekodkan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM21 bilion berbanding keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM40.5 bilion pada 2019.
"Oleh itu, peruntukan capex dan perbelanjaan operasi (opex) yang rendah bagi tahun ini, bukan sesuatu yang mengejutkan.
"Walaupun kami menjangkakan sebelum ini, Petronas akan membelanjakan sekitar RM30 hingga RM35 bilion capex bagi 2021 (hampir sama seperti tahun lalu), tetapi kami menyedari Petronas kini merancang untuk meningkatkannya sekitar RM40 hingga RM45 bilion," jelasnya.
Jumlah itu meskipun dilihat lebih tinggi berbanding anggaran yang dibuat firma berkenaan, tetapi ia masih rendah berbanding sebelum pandemik iaitu RM50 hingga RM55 bilion capex setiap tahun.
"Ini bermakna, Petronas mungkin mengurangkan aktiviti E&P di peringkat antarabangsa sebaliknya memberi lebih tumpuan kepada aktiviti di peringkat domestik.
"Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan ketidaktentuan dalam perbelanjaannya tetapi pada masa sama mampu menyokong penyedia perkhidmatan minyak dan gas tempatan," katanya.
Sepanjang tahun lalu, syarikat-syarikat minyak utama global terutama syarikat bersepadu minyak dan E&P bebas telah mengurangkan perbelanjaan mereka antara 20 hingga 30% dalam pengeluaran dan membantu pemulihan harga minyak.
Tindakan ini sejajar dengan permintaan lemah akibat pandemik COVID-19 yang menyaksikan permintaan China bagi minyak mentah susut 20% sehingga kini dan mengheret dunia dalam situasi tidak menentu.
Ini kerana permintaan China sahaja merangkumi 80% daripada pertumbuhan permintaan pada 2019.
Secara purata, kira-kira 30 hingga 40% capex diperuntukkan untuk penggerudian dan pemasangan manakala 15 hingga 20% bagi pengeluaran dasar laut.
Menurut Noor Athila, walaupun syarikat minyak utama tidak membuat semakan semula dalam capex bagi E&P, tetapi pemulihan dalam sektor ini kekal berada dalam landasan yang tepat.
"Oleh itu, kami percaya dengan meningkatkan sektor ini kepada pandangan positif adalah bertepatan memandangkan pemain O&G dijangka merekodkan pertumbuhan pendapatan bagi tahun ini yang lebih mantap setelah menunjukkan pemulihan pendapatan sejak suku ketiga 2020," tambahnya.
Firma itu menganggarkan harga minyak mentah akan kembali berlegar sekitar AS$58 hingga AS$65 setong bagi separuh pertama tahun ini.
"Bagaimanapun, bagi sepanjang tahun ini, kami menjangkakan minyak akan berlegar secara purata pada AS$59 setong terutama didorong langkah-langkah pemulihan pada separuh kedua 2021.
"Ini bergantung kepada sejauh mana kes jangkitan COVID-19 dapat dibendung di seluruh dunia dan program vaksin diuruskan dengan baik," katanya.
Dalam masa sama, ia juga menjangkakan OPEC+ akan terus mengetatkan bekalan tahun ini sekali gus membantu menstabilkan harga minyak mentah pada separuh pertama 2021 manakala permintaan akan kembali pulih secara berperingkat kepada paras sebelum pandemik pada separuh kedua. - DagangNews.com