KUALA LUMPUR 1 Mac - Petronas kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM48.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding kerugian bersih RM21 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Prestasi kumpulan yang kukuh itu disokong oleh lonjakan harga komoditi yang dipacu permintaan tenaga global apabila ekonomi dibuka semula dengan kadar vaksinasi lebih tinggi di seluruh dunia, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Ini menyaksikan syarikat minyak dan gas negara itu merekodkan pendapatan berjumlah RM248 bilion bagi tempoh itu, meningkat daripada RM178.7 bilion bagi tempoh sama 2020, terutamanya didorong impak harga yang menggalakkan untuk produk utama sejajar dengan harga realisasi purata yang lebih tinggi.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) juga meningkat kepada RM100.5 bilion, disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi, mengimbangi sebahagian kenaikan kos produk.
Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) berada pada RM78.6 bilion dalam tempoh tersebut.
Setakat 31 Disember 2021, jumlah aset keseluruhan kumpulan meningkat kepada RM635 bilion berbanding RM574.1 bilion tahun lalu, terutama disumbangkan oleh tunai dan tunai setara lebih tinggi termasuk akaun terimaan lebih tinggi.
Perbelanjaan modal kumpulan pula berjumlah RM30.5 bilion, kebanyakannya untuk projek huluan.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM76.6 bilion daripada RM44 bilion bagi tempoh sama tahun lalu, didorong harga purata direalisasikan yang menggalakkan bagi semua produk.
Petronas turut merekodkan untung bersih sebanyak RM13.4 bilion pada suku berkenaan berbanding kerugian bersih RM1.1 bilion bagi tempoh sama 2020 sejajar dengan EBITDA yang lebih tinggi kerugian rosot nilai bersih yang lebih rendah ke atas aset.
EBITDA bagi tempoh itu meningkat kepada RM28.1 bilion daripada RM11.9 bilion, sejajar dengan pendapatan yang lebih tinggi mengimbangi sebahagian kos produk.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, kumpulan kekal berdaya tahan selepas 2 tahun berdepan gangguan yang ekstrem dalam ekosistem tenaga, meletakkannya lebih baik untuk memanfaatkan pemulihan pasaran.
Bagaimanapun, katanya, Petronas akan terus memberi tumpuan dalam menyampaikan kecemerlangan komersial dan operasi dengan selamat.
"Kami kekal komited untuk melaksanakan disiplin apabila melabur semula untuk mengukuhkan teras kami dan mengembangkan portfolio, walaupun kami menguruskan komitmen kewangan dan obligasi hutang kami secara berhemat.
“Malah, 2022 akan menjadi tahun yang bermakna kepada Petronas, untuk melangkah ke hadapan dalam mencapai matlamatnya, untuk menjadi rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang memperkayakan kehidupan untuk masa depan yang mampan.
"Menerusi strategi pertumbuhan serampang 3 mata dan Net Zero Carbon Emissions 2050, Petronas komited untuk terus memastikan tenaga dapat dihasilkan dan disediakan secara mampan," jelasnya.
Dalam pada itu, Petronas menjangkakan industri akan terus beroperasi dalam persekitaran mencabar disebabkan ketidaktentuan pasaran dan ketegangan risiko geopolitik.
"Namun, di tengah-tengah cabaran ini, kumpulan akan memberi fokus untuk melaksanakan pelan pertumbuhan dan usaha kemampanan di samping mencapai kecemerlangan operasi dan komersial," katanya. - DagangNews.com