Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Petronas berjaya mengurangkan ekuiti atau pemegangan sahamnya dalam MISC Berhad (MISC) dan KLCCP Stapled Group (KLCC SG) di Bursa Malaysia Securities semalam.
Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan itu dilakukan menerusi langkah tawaran ekuiti dalam tempoh masa singkat (equity accelerated bookbuilding).
"Pengurangan yang dilakukan adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengoptimumkan portfolio Petronas yang mantap dan mampan serta bersedia untuk merebut peluang perniagaan baharu.
"Penjualan saham ini akan menghasilkan penyertaan dan pemilikan pelabur tempatan dan antarabangsa yang lebih besar dalam syarikat selain peningkatan kecairan saham," jelas Petronas.
Mengulas lanjut, Petronas bagaimanapun memberitahu pihaknya akan terus mempertahankan penguasaan saham di MISC dan KLCC SG yang masih menjadi penyelesaian utama bagi Petronas.
Menurut The Edge, Petronas melupuskan 266 juta saham dalam MISC atau 5.96% kepentingan dalam MISC dengan harga tawaran bernilai RM6.67 sesaham.
Selepas proses jualan saham berkenaan, Petronas bagaimanapun akan kekal sebagai pemegang saham di MISC dengan pegangan sekitar 51.6% berbanding 57.56% pada sebelumnya.
Petronas juga menawarkan 140 juta sekuriti tertutup atau 7.75% bagi KLCCP yang terdiri daripada KLCC Property Holdings Bhd dan KLCC Real Estate Investment Trust (REIT) kepada pelabur pdaa harga RM7.12 per sekuriti.
Dalam Bursa Malaysia hari ini, saham MISC meningkat dua sen atau 0.29% kepada RM6.84 setakat pukul 9.29 pagi tadi.
Harga saham KLCCP bagaimanapun turun tiga sen atau 0.4% kepada RM7.52 setakat pukul 9.31 pagi. - DagangNews.com